Saturday, 27 August 2011

KISAH BENAR: DIALOG MUHAMMAD MUKHTAR DENGAN PADERI DI KAHERAH



Ya Allah, jadikan kami pembela agamamu daripada fitnah, amin.

Kisah ini dipetik daripada kitab tulisan Abdul Muta’al as-Sa’idy berkenaan dialog Islam-Kristian.

Kitab itu mengisahkan dialog antara Paderi Z (bukan nama sebenar) yang datang ke Kaherah bagi menyebarkan agama Kristian dengan Muhammad Mukhtar, seorang remaja Muslim di Kaherah yang dididik dengan asuhan agama yang mantap sejak kecil.
Mereka mengadakan beberapa siri dialog yang membeliakkan mata hati ramai orang berkenaan kejernihan dan keadilan Islam yang selama ini disalah fahami.

Soalan Paderi: Islam agama poligami?

Dalam dialog kelima, Paderi Z bertanya Muhammad Mukhtar,
“Mengapa anda berpendapat Islam berlaku adil kepada wanita, bukan menghinakannya? Padahal Islam membenarkan poligami, sedangkan poligami ini besar bahayanya kepada mereka dan mencipta pertengkaran dalam kehidupan suami isteri. Padahal kehidupan suami isteri perlu dijalankan dengan kerjasama secara ikhlas. Keikhlasan pula terbina dalam kerjasama di dalam rumah, kekayaan ataupun anak-anak.”

Jawapan untuk Paderi

•Islam membela wanita dengan mengehadkan poligami
Anda terlalu ekstrim meletakkan Islam agama poligami. Seolah-olah Islam memulakan poligami. Seolah-olah juga Islam membenarkan apa yang dilarang agama-agama sebelumnya seperti zina dan maksiat. Padahal Islamlah yang datang membela wanita dengan mengehadkan poligami tanpa batas kepada had maksimum empat orang sahaja. Islam pembela!

•Poligami hanyalah harus, bukan wajib ataupun sunnah
Islam meletakkan kebolehan poligami bukanlah sebagai sesuatu yang wajib ataupun sunnah, melainkan hanya ketetapan harus. Ketetapan harus dalam poligami adalah hukum yang sungguh terpuji, kerana sesuai dengan sifat Islam sebagai agama universal, yang berlaku untuk segala masa dan tempat serta segala jenis bangsa. Hukum harus tidaklah sama dengan empat ketentuan hukum yang lain iaitu wajib, sunnah, makruh dan haram.

•Hukum yang elastik
Dengan demikian, harus boleh diterapkan pada kebanyakan hukum, sehingga pihak pemerintah dapat melakukan perubahan atau menggantikannya sesuai dengan tuntutan situasi dan keadaan. Poligami dalam Islam termasuk hukum yang elastik, sehingga hukum poligami berlaku menurut tuntutan keperluan. Sekiranya ternyata dalam sesuatu masyarakat itu, poligami menimbulkan hal-hal yang merosakkan, pemerintah berhak mengadakan larangannya.

•Mengapa Islam tidak mengharamkannya secara mutlak?
Sekiranya Islam melarang poligami secara mutlak, nescayalah manusia akan mengalami kesukaran sepanjang zaman. Misalnya keadaan sesudah perang yang pada umumnya jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki, dan umat tersebut amat memerlukan pertambahan penduduk selepas perang bagi menggantikan mereka yang mati sebagai korban perang. Keadaan seperti itu memerlukan sistem poligami, jerana poligami adalah cara terbaik bagi mengelakkan penzinaan.
Walaupun dalam sistem poligami itu terdapat hal-hal yang negatif, sebenarnya keburukan itu terdapat pada perlaksanaan bukan pada hakikat keharusan poligami itu sendiri. Namun dalam keadaan tertentu, keburukannya jauh lebih kecil berbanding penzinaan. Penzinaan selamanya berbahaya dan menimbulkan kerugian besar, baik terhadap kesihatan tubuh, keluarga dan lingkungan kehidupan umat. Ia juga membuat yang terlibat menjadi tidak produktif apabila membiarkan diri dikuasai oleh dorongan seksual kebinatangan.

•Bagaimana Islam Menyelesaikan Penyalahgunaan Poligami?
Islam tidaklah melupakan adanya bahaya poligami kerana penyalahgunaan. Kerana itu Islam menetapkan syarat-syarat yang ketat, iaitu poligami hanya dibenarkan untuk orang yang yakin mampu berlaku adil sesama isterinya, agar kehidupan rumahtangganya terjaga dengan baik, penuh rasa ikhlas, penuh keterbukaan dan kejujuran antara isteri dan suami, antara anak-anak, ayah dan ibu-ibu mereka.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 3, maksudnya,
Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau (kahwinilah) hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

•Poligami, satu keringanan (rukhsah) yang amat ketat syaratnya
Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama, ayat 129, maksudnya,
Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini menjelaskan, sikap adil yang menjadi syarat keharusan berpoligami adalah tidak dapat dipenuhi secara mutlak. Kerana itu, seseorang yang mahu lebih selamat kepentingan agamanya, hendaklah ia bermonogomi (berkahwin satu sahaja). Ini bererti poligami pada asasnya dipandang makruh, kerana keharusan ini tidaklah begitu sahaja dapat dilaksanakan dan tidak terlepas daripada sifat makruh, tanpa ada keperluan yang mendesak.

•Keharusan yang makruh
Poligami yang keharusannya bersyarat bukanlah timbul kerana serangan-serangan terhadap hukum poligami pada zaman ini, akan tetapi seorang alim besar bernama Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali Rabi’ dalam bukunya Sulukul malik fi tadbiril mamalik, menjelaskan kepada para suami untuk memenuhi enam tugas kepada isteri dan tugas kelimanya adalah sebaik-baiknya bermonogami (berkahwin satu) selagi mana memenuhi kecukupannya. Sebabnya, monogami lebih mampu menegakkan ketertiban rumahtangga. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa beliau beranggapan berpoligami itu makruh seperti pendapat saya. Cuma, beliau ini berbeza dengan majoriti ulama yang meletakkan hukum asal poligami sebagai harus, tetapi beliau meletakkan hukum asalnya sebagai tidak harus atau haram.

Soalan Paderi: Mengapa Ramai Muslim Masih Berzina?

Sekiranya benar katamu poligami adalah cara terbaik mengelakkan penzinaan, tetapi mengapa dalam masyarakat Islam masih berlaku penzinaan? Ia sama sahaja seperti masyarakat Kristian yang mengharamkannya.

Jawapan untuk Paderi

•Poligami bukan satu-satunya cara mengatasi penzinaan
Saya mengatakan bahawa poligami hanya antara cara, bukannya satu-satunya cara bagi mengatasi penzinaan. Apabila membicarakan soal pembanterasan zina iaitu penghapusan zina secara total, maka poligami semata-mata tidak cukup membanteras penyakit sosial ini. Tetapi ia memerlukan cara yang lain juga iaitu hukuman yang berat ke atas penzina. Semua cara-cara ini bagi mengurangkan penyakit-penyakit sosial yang menimpa kehidupan masyarakat. Menghilangkannya secara total adalah mustahil.

•Ia mengurangkan bukan menghapuskan penzinaan
Satu kenyataan yang tidak dapat diragukan, secara perbandingan, penzinaan yang berlaku di negara Islam lebih sedikit daripada penularan zina di negara bukan Islam. Terutamanya apabila hukum-hukum Islam dapat ditegakkan di sesebuah negara itu, dan bukannya terbelenggu di bawah hukum penjajah. Penjajahlah yang memaksa penzinaan dan minuman keras di negara-negara Islam dan hal ini sedia dimaklumi oleh dunia.

Soalan Paderi: Jika poligami itu makruh mengapa Rasulullah berpoligami?

Wahai anak muda, sekiranya anda beranggapan poligami pada dasarnya makruh (dibenci Allah), tetapi mengapa Rasulullah mempraktikkannya?
Mengapa Baginda berpoligami lebih daripada apa yang diharuskan untuk umatnya? Beliau mengehadkan orang lain beristeri tidak lebih daripada empat orang tetapi beliau beristerikan sembilan orang wanita dalam satu masa.

Jawapan untuk Paderi

•Hukum poligami turun selepas Rasulullah melakukannya
Perlu diketahui bahawa ketentuan berpoligami turun pada akhir tahun ke-8 hijrah. Padahal Nabi berpoligami dengan sejumlah isteri sebelum tahun itu. Isteri beliau yang terakhir adalah Maimunah puteri al-Harits al-Halaliyah, janda daripada bapa saudara beliau iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, syuhada Uhud. Beliau juga adalah bapa saudara Abdullah bin Abbas. Perkahwinan ini berlangsung ketika beliau melakukan Umratul Qadha, tahun ke-7 Hijrah. Nabi tidak mencampuri isterinya ini kecuali selepas keluar dari Makkah iaitu di Kampung Sarif.
Tatkala hukum poligami ini turun dan dilarang berpoligami lebih daripada empat isteri, maka Nabi pun dilarang bagi berkahwin lagi lebih daripada jumlah isteri beliau yang sudah ada. Berkenaan dengan perkara ini, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 52 yang bermaksud,
Tidak halal bagimu mengahwini wanita-wanita sesudah itu dan tidak boleh (pula) menggantikan mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali wanita-wanita (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah maha mengawasi segala sesuatu.

•Kemaslahatan untuk isteri-isteri Rasulullah, bukan untuk kepentingan baginda
Allah cuma membolehkan Rasulullah meneruskan poligaminya dengan sembilan isterinya, sedangkan orang lain Allah menyuruh menceraikan isterinya apabila berjumlah lebih daripada empat orang. Ia bagi kemaslahatan isteri-isteri Rasulullah kerana mereka tentu tidak reda menerima orang lain sebagai pengganti. Kedudukan orang lain sudah tentu tidak sama seperti kedudukan Rasulullah.
Maka jelas, pengecualian dalam kemaslahatan itu bukannya untuk kepentingan Rasulullah, tetapi untuk kepentingan isteri-isterinya. Sebab itulah isteri-isteri Nabi tidak dihalalkan diambil oleh orang lain sepeninggalan Rasulullah sehingga mereka tetap menyandang pangkat, ibu orang beriman. Jadi baginda tidak dibenarkan menceraikan seorang pun daripadanya, adalah untuk kemaslahatan mereka.

KENAPA SUAMI PERLU MEMINTA KERELAAN ISTERI SEBELUM BERPOLIGAMI?



Adab Permohonan Untuk Berpoligami
            Ada segelintir masyarakat yang berpandangan, keizinan isteri tidak penting dalam urusan poligami kerana sudah tentu kebanyakan wanita tidak mengizinkannya. Jika berhajat, buat sahaja. Mulut isteri hanya perlu dizip dengan ancaman berdosa, nusyuz (derhaka), menolak sunnah Nabi dan sebagainya.
Ya, poligami sah tanpa izin isteri. Tapi kerelaan isteri amat penting dan berpengaruh besar dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.  Jika diabaikan, ia bakal menghancurkan tujuan suci perkahwinan untuk mewujudkan mawaddah, rahmah dan sakinah.
Biasanya suami yang berpoligami tanpa rela isteri melakukannya di Thailand atau di luar mukim. Poligaminya sah namun ia dianggap oleh masyarakat berpoligami tanpa adab. Melanggar lunas undang-undang. Berisiko tinggi untuk menzalimi hak sesiapa.
Hidup ini bukan sekadar mengetahui hukum tanpa seni melaksanakannya. Bukan juga sekadar ada seni melaksanakannya tanpa mengetahui hukum. Kedua-duanya sama-sama penting untuk mengecap bahagia. Tentang isu sah atau tidak sah suami berkahwin lagi tanpa izin isteri, diakui bahawa ianya sah. Namun, ia meninggalkan kesan dan risiko tersendiri dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.
Kuasa Keizinan Mahkamah
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa cara pernikahan yang baik itu ialah apabila tidak ada penghalang yang menghambat pernikahannya daripada salah satu pihak, atau keluarganya, atau tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain-lain.[1]
Secara undang-undang di Malaysia, sama ada isteri mengizinkan atau tidak mengizinkan, rela atau tidak rela, permohonan untuk berpoligami mesti dituntut di mahkamah. Ketidak relaan isteri sedikit berpengaruh dalam keputusan mahkamah dalam menentukan sama ada suami mampu berlaku adil atau tidak.
Mahkamah Syariah mempunyai maslahah tertentu untuk membolehkan poligami hanya dengan izin mahkamah, iaitu mahkamah yang menentukan ‘keadilan’ seseorang dan kemampuannya memberikan nafkah. Konsep maslahah suatu konsep yang diiktiraf dalam Fiqh dan Usul Fiqh. Ini disebabkan oleh ramai orang yang menyalah gunakan keringanan (rukhsah) berpoligami khususnya orang-orang jahil.
Di Malaysia, mahkamah akan mempersoalkan tentang kecacatan fizikal isteri, ketidak mampuannya memberikan zuriat serta memenuhi keperluan seks suami dan sebagainya. Jika isteri telah memenuhi kriteria semua ini dan dia tidak rela dimadukan, mahkamah biasanya berkemungkinan besar menolak permohonan suami untuk berpoligami, bergantung juga kepada penelitian banyak faktor lain dan kebijaksanaan hakim.
Perbezaan Pendapat Dalam Mensyaratkan Keizinan
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam soal mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau Mahkamah Syariah sebagai mana dihuraikan oleh ramai ulama kontemporari. Sila rujuk penerangan buku Al-Fiqh waadillatuhu karangan Wahbah Zuhaili. Beliau lebih condong kepada pendapat yang mengatakan individu itu sendiri yang berhak menentukan sama ada dia mampu berlaku adil atapun tidak, bukannya pihak mahkamah. Pendapat ini suatu sokongan kepada pendapat Perhimpunan Kajian Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah pada tahun 1975.
Pendapat di atas ini dihormati. Mereka memiliki hujah yang kuat. Dalam masa yang sama, pendapat yang terpakai di Malaysia juga wajar dihormati atas dasar maslahah dan kaedah fiqh yang memperhatikan keadaan zaman dan lingkungan dalam berfatwa. Lagipun sebahagian ulama kontemporari yang lain seperti Imam Ghazali mempertahankan bahawa keinginan berpoligami oleh seseorang setelah meneliti keadaan tertentu yang tidak melayakkannya tidak boleh dibiarkan. Rasulullah sendiri pernah menegah poligami yang ingin dilaksanakan oleh Saidina Ali. Bukan itu sahaja, baginda menyarankan agar pemuda yang tidak mampu bernikah untuk berpuasa, bukan tetap sahaja menikah.
Jelas kepada kita bahawa isu keizinan mahkamah dan isteri adalah sesuatu yang diperselisihkan oleh ulama, bukannya suatu isu yang disepakati. Maka, raikan perbezaan kerana perbezaan pendapat itu lumrah. Ia suatu perbezaan yang terhormat selagi mana berpegang kepada hujah dan dalil.
Hormatilah keputusan mana-mana negara untuk memakai pendapat yang mana dalam aplikasi undang-undang negaranya. Ia bukan soal benar (haq) atau sesat (batil), cuma soal betul (sowab) atau salah (khoto’). Perbezaan dalam soal betul (sowab) atau salah (khoto’) ini semuanya dalam daerah pahala, sama ada satu atau dua pahala. Orang yang tidak mendapat pahala ialah mereka yang menyesatkan dan mengkafirkan orang lain yang berbeza pendapat dengannya.
Akibat Berkahwin Tanpa Izin, Mendera Perasaan Isteri dan Menghapus Bahagia Sekeluarga
Kita bincangkan pula, isu penting atau tidak penting suami berkahwin lagi dengan izin isteri. Mari merenung jauh, apakah impak poligami tanpa kerelaan isteri? Adakah ia berpengaruh kepada konsep membawa keburukan (mafsadah)?
            Sudah tentu.
Bukankah berpoligami tanpa rela isteri ini suatu penderaan perasaan yang amat dahsyat kepada kaum wanita? Jika dia marahkan suaminya sahaja, tidak mengapa. Bimbang nanti agamanya rosak apabila dia mula marahkan Allah. Bimbang juga jika kehancuran hatinya merangsang dia bertindak di luar kawal.
Wajarkah wanita dipersalahkan seratus-peratus apabila nanti dia mewujudkan perang demi perang lantaran remuknya perasaan? Siapa sebenarnya yang mencampakkan wanita ke dalam kezaliman ini apabila agamanya terfitnah kerana cemburu? Siapa yang telah mengheretnya kepada ujian hidup bermadu tanpa adab? Akibatnya, suami, isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga akan hilang bahagia. Siapa pencetusnya?
Kepentingan Izin Isteri untuk Mencapai Tujuan Perkahwinan Barakah
            Mari kita perhatikan, apakah rasional pentingnya suami meminta kerelaan isteri sebelum berpoligami. Sebelum itu, diingatkan sekali lagi, isunya di sini bukan sah atau tidak sah berpoligami tanpa kerelaan isteri, tetapi penting atau tidak penting kerelaan isteri:
1.      Meminta kerelaan isteri adalah suatu sikap mulia dengan mengambil prinsip umumkepentingan berbincang atau bermesyuarat dalam kepimpinan.
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ (38)
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan berbincanglah dalam urusan antara mereka.” (SurahSyura: 38)
Suami adalah pemimpin di dalam rumah tangga. Sebelum sesuatu keputusan besar dibuat di dalam keluarga, amat penting baginya berbincang dan bermesyuarat sesama ahli keluarga. Barulah dia dikira pemimpin yang bertanggung jawab dan amanah. Bukankah isu poligami adalah isu yang sangat besar dalam sesebuah keluarga? Melaksanakannya tanpa berbincang, adakah akan membawa bahagia? Atau bakal mencipta neraka dunia?
2.      Tanpa kerelaan isteri, ia menghancurkan hati isteri dengan penipuan dan menyembunyikan pernikahan, bertentangan dengan konsep al-mu’aasyarah bil-ma’ruuf (memperlakukan isteri dengan baik), seperti yang diingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Nisaa`: ayat 19.
3.      Islam mengiktiraf perasaan kewanitaan dan ianya menyejukkan jiwa wanita. Pengiktirafan ini mengukuhkan institusi kekeluargaan. Suami yang meminta kerelaan isterinya dikira mengiktiraf perasaan isterinya itu.
Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَدِيٍّ الْكِنْدِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَشِيرُوا عَلَى النِّسَاءِ فِي أَنْفُسِهِنَّ
Maksudnya:
Daripada ‘Adiy ibn ‘Adiy Al-Kindi daripada bapanya: Rasulullah SAW bersabda: “Berbincanglah dengan wanita tentang diri mereka sendiri.”
Jadi, wajarkah seorang suami langsung tidak mengambil pandangan isterinya sebelum berpoligami? Urusan poligami bukan urusan suami seorang bahkan melibatkan urusan isteri dan anak-anak. Maka, suara isteri wajar diperbincangkan bersama secara syura. Suami tidak boleh berlagak diktator kerana keputusan untuk berpoligami melibatkan hak orang lain. Jika hak itu dizaplimi tanpa izin, ia berpengaruh pada syurga dan nerakanya.
4.      Betapa Rasulullah SAW amat menghargai isteri, baginda berpesan kepada kaum suami apabila tergoda dengan wanita lain, segeralah menggauli isteri di rumah. Baginda tidak pernah berpesan agar segera menikahi wanita itu dan menduakan isteri kerana baginda menunjukkan contoh bernikah lagi bukan kerana nafsu tetapi kerana kepentingan agama.
Lelaki yang tertawan dengan seorang wanita dan bercinta secara haram di belakang isterinya kemudian berkahwin lagi tanpa kerelaan isteri, jelas perkahwinannya bukan kerana kepentingan agama tetapi kerana dorongan nafsu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda. “Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” (Riwayat Muslim).
5.      Bagaimana Fatimah al-Zahra mengetahui hasrat suaminya ingin berpoligami jika suaminya tidak berbincang dengannya? Jelas, Saidina Ali menghargai kerelaan isterinya dalam urusan ini dengan berbincang.
6.      Kenapa menantu-menantu Rasulullah yang lain seperti Saidina Usman dan Abul Ash Laqith bin Ar-Rabi’ tidak berpoligami? Mereka mengetahui Rasulullah tidak rela puteri-puterinya dimadukan. Jelas, Saidina Usman dan Abul Ash meraikan dan menghormati hati dan keizinan isterinya dalam urusan ini yang disampaikan oleh ayahnya sejak awal pernikahan.
7.      Seandainya isteri tidak merelakan, ia akan mengakibatkan pertengkaran dan pergaduhan besar. Biasanya sukar dimaafkan dan dilupakan selama-lamanya kerana isteri sudah hilang kepercayaan kepada suami. Sekaligus meruntuhkan tujuan perkahwinan untuk membinamawaddah, warahmah wasakinah.
8.      Seandainya perbincangan dengan isteri berlaku, ia akan membawa natijah sama ada isteri merelakan atau suami perlu memberi hak isteri sekiranya dia mempertahankan monogaminya di mahkamah atau minta dibebaskan dengan cara yang baik. Ia dapat mengelakkan pergaduhan besar dengan memberikan hak semua pihak.
9.      Kerelaan isteri pertama lebih memberi ketenangan hati kepada banyak pihak termasuk suami, isteri, anak-anak dan keluarga. Realiti membuktikan bahawa poligami tanpa izin isteri selalunya sukar dan poligami dengan izin isteri selalunya sejahtera.
10.  Kerelaan isteri pertama dapat mengelakkan isteri kedua dan seterusnya sering berada dalam derita apabila suami bersikap lepas tangan. Manakala pembelaan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawab dengan adil tidak ada kerana dia tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal suaminya daripada melakukan ketidak adilan.  Janji-janji suami akan berkubur begitu sahaja kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul dengan meminta kerelaan isteri pertama terlebih dahulu, maka suami boleh mengabaikan janjinya sewenang-wenangnya.
11.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah isteri pertama dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).
12.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinannya dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.


[1] Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi, Wanita dalam Fikih Al-Qaradhawi, Pustaka al-Kauthsar, hal.105

islam mengangkat darjat wanita



 




•Mengutamakan ibu ke atas bapa.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi SAW menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi SAW menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi SAW menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

•Anak perempuan menjadi penyelamat di akhirat.

“Barangsiapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan. (Riwayat Bukhari).

•Wanita bukan hamba lelaki tetapi setaraf daripada segi nilai kemanusiaan bagaikan adik beradik.

“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud).

•Amal soleh wanita diiktiraf oleh Allah sebagaimana amal soleh lelaki diiktiraf.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” (Surah al-Nisa’: 124).

•Hak wanita diiktiraf.

Umar al-Khattab RA berkata, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.

trend 'taqrabu zina sebelum bernikah'


Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!
Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!
Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 
Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 
Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)
“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.
Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, al-aslu fil ikhtilat haram. 
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia bukan dinamakan ikhtilat sebaliknya muamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya, 
Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?  
Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 
Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
            Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
            Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)
“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad

auratmu , aib yang wajib ditutup



Kewajipan menutup aurat bagi lelaki dan wanita telah disepakati kewajipannya oleh para ulama.
Namun, setakat  mana yang dinamakan 'aurat', terbuka kepada banyak tafsiran, maka ulama'  berselisih pendapat mengenainya. Perkara yang diperselisihkan ini selagi bersama hujah yang benar daripada tafsiran al-Quran dan al-sunnah sebagaimana manhaj golongan awal, kesemua mereka dalam daerah pahala dan perlu kita hormati.
Mari kita telusuri tentang dalil kewajipan menutup aurat bagi wanita.
Dalil 1: Wajib Bertudung (Khimar) atau Menutupkan Kain Meliputi Kawasan Dada
Firman Allah SWT :               
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاء بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاء بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاء وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah al-Nur : 31)
Dalil 2: Tutuplah Kecuali Muka dan Tapak Tangan
Hendaklah pakaiannya itu menutup seluruh tubuhnya sehingga tidak terlihat oleh orang lain kecuali wajah dan tapak tangan, sebagaimana pentafsiran Ibnu Abbas yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir, merujuk firman Allah SWT :
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Ertinya : “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” (Surah al-Nur : 31).
Al-Qurthubi dalam mentafsirkan ayat di atas mengatakan bahawa ‘yang biasa nampak daripadanya’ adalah wajah dan kedua-dua tapak tangan sebagaimana kebiasaan rutin mahupun ibadah seperti solat dan haji. Walau bagaimanapun apabila dikhuatirkan terjadi fitnah kerana wajah wanita yang terlalu cantik maka lebih baik untuknya mengenakan purdah.
Dalil 3: Wajib Memakai Baju Longgar (Jilbab) yang Menutupi Seluruh Tubuh
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal supaya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab: 59).
Berkenaan isu yang mengatakan seorang wanita tidak boleh memakai pakaian sambung (iaitu ada atas dan ada bawah seperti baju kurung) dan mereka hanya diharuskan memakai pakaian terusan (seperti jubah), sebenarnya tiada dalil yang mengatakan sedemikian selagi mana kedua-dua pakaian tersebut memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan syariat terhadap pakaian ‘takwa’ seorang muslimah. Terpulang kepada mereka menentukan fesyen selagi mana kod fesyen itu masih mengikuti syarat-syarat syariah.
Dalil 4: Kisah Asma’ Binti Abu Bakr Dilarang Memakai Pakaian Tipis
Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma’ binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma’) dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini.” Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Rasulullah SAW telah mengenali Asma’ r.ha sebagai wanita baik tetapi baginda tetap memerintahkannya mengenakan pakaian menutup aurat di hadapan bukan mahram (lelaki yang tidak halal baginya) kerana ia perintah Allah yang tetap dan tidak berubah kecuali dalam keadaan darurat. Begitu juga tentang isteri Usamah bin Zaid.
Dalil 5: Larangan Memakai Pakaian Berbayang atau Nipis
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bahawa Nabi SAW menghadiahkan Usamah bin Zaid sehelai pakaian (yang berasal) dari Mesir. Lalu Usamah memberikannya kepada isterinya dan Nabi SAW berkata kepadanya, “Perintahkan isterimu untuk mengenakan pakaian dalam pada bahagian bawahnya. Sesungguhnya aku mengkhuatirkan nampak bentuk-bentuk tulangnya.”
Pakaian yang dimaksudkan Nabi hendaklah tidak mengundang fitnah, seperti tidak tipis sehingga menampakkan bayangan tubuhnya atau tidak pula ketat sehingga membentuk lekuk, alur dan lurah pada bahagian tubuhnya.

aurat wanita ,


Berkaitan aurat wanita, ada 3 istilah penting yang mempunyai maksud berbeza iaitu:
Jilbab (Al-Ahzab: 59)
Hijab (Surah al-Nur)
Khimar (Surah al-Nur: 31)

Ikuti penerangan di bawah. Dipetik daripada novel Bebaskan Keliru, Sebarkan Cinta-Mu

"Ummu Qasdi: Wanita Arab kebanyakannya memiliki jilbab (jubah) yang sangat tebal, keras dan tidak membentuk badan sedikitpun. Oleh sebab itulah khimar atau tudung kepalanya singkat. Ia sudah memenuhi kehendak menutup aurat. Sementara di Malaysia, jilbab (baju kurung dan jubah) kita adalah nipis dan agak menampakkan potongan badan. Oleh sebab itu kita dianjurkan memakai khimar atau tudung kepala yang labuh."

Qasdi               : Hmm, balik kepada diskusi kita. Silakan mengkritik saya seperti mereka.
Ummu Qasdi   : Saya cuma ingin berdiskusi bukan kritik-mengkritik.
            Qasdi               : Baik. Apa jawapan awak untuk soalan saya? Kenapa Islam
                                    memenjarakan wanita dengan memerintahkannya bertudung? Ia
                                    ajaran Islam atau hanya tradisi?
            Ummu Qasdi   : Bagus sekali soalan ini. Ia sudah tentu memberat juga
                                    di minda anak-anak gadis yang lain.
Ummu Qasdi   : Bagi Orientalist, hijab itu cumalah tradisi Arab tidak kira untuk apa jua agama termasuk Yahudi dan Kristian. Mereka yang berhijab dianggap anti-sosial. Itu kefahaman Barat bukan kefahaman Islam.
Qasdi               : Ada juga bijak pandai Muslim yang percaya begitu. Saya sendiri telah membaca tulisan mereka.
Ummu Qasdi   : Mereka sedang keliru dengan hujah Barat. Doakan Allah pandu mereka kembali.
Qasdi               : Saya yakin mereka berkata begitu dengan bukti dan kajian kerana saya mengenali sendiri orang Barat sebagai bangsa yang suka mengkaji. Saya kini berada di negara Barat.
Ummu Qasdi   :Ya, budaya mengkaji sebenarnya hikmah orang-orang Islam yang hilang. Di manapun kita menemuinya, kita mesti mengutipnya kembali.
Qasdi               : Betulkah ada Muslim sebaik orang Barat?
Ummu Qasdi   : Awak mungkin belum menemuinya.Orang Islam yang mengkaji dan berakhlak akan mempunyai nilai yang jauh lebih indah dan suci. Saya akan berdoa moga awak akan menemuinya.
Qasdi               : Kalau awak tahu situasi saya di sini, hijab ini menyebabkan saya menjadi rendah diri terhadap lelaki. Bukankah ini satu diskriminasi wanita? Saya rasa tidak merdeka. Apapun, saya tahu, saya sedang keliru. Maka, saya masih tidak meninggalkan hijab saya.
Ummu Qasdi   : Kekeliruan itu lumrah bagi insan yang mengkaji. Ia akan terlerai menjadi hujah yang teguh apabila kajian diteruskan dengan adil dan banyak berdoa.
Qasdi               : Sila jelaskan hujah awak.
Ummu Qasdi   : Firman Allah SWT dalam sumber agung kita, al-Quran al-karim yang bermaksud,“Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’” Surah al-Ahzab, ayat 59.
QasdI              : Bagaimana pula dengan segelintir cerdik pandai Muslim yang menafsirkan ayat ma zoharo minha (apa yang biasa nampak), dalam Surah al-Nur, ayat 31, termasuk boleh mendedahkan rambut kerana rambut itu biasa nampak.
Ummu Qasdi   : Firman Allah selengkapnya bermaksud, ....dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka selain yang biasa nampak (ma zoharo minha). Majoriti ulama menafsirkan apa yang biasa nampak ialah muka dan tapak tangan. Itu juga tafsiran Ibnu Abbas yang memang digredkan sendiri oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir.
Qasdi               :Kalau benar hijab itu ajaran Islam, bagaimana Islam melayan wanita secara sama dengan kaum lelaki dalam hal ini?
Ummu Qasdi   : Islam telah meletakkan banyak persamaan antara wanita dan lelaki dalam nilai kemanusiaan, hak untuk beribadat, bermuamalat, mendapat pendidikan dan sebagainya. Cumanya Islam tidak meletakkan persamaan secara mutlak.
Qasdi               :Kenapa?        
Ummu Qasdi   :Kerana Islam memiliki konsep yang lebih luas iaitu keadilan. Apa yang awak faham tentang keadilan?
Qasdi               : Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Ummu Qasdi   : Bijak!  
Qasdi               : Terus...                     
Ummu Qasdi   : Bagaimana Islam boleh memberikan persamaan mutlak kepada lelaki dan wanita sedangkan biologi merekapun ternyata berbeza. Ini menyebabkan peranan mereka terhadap keseimbangan kehidupan ini juga agak berbeza. Contoh yang jelas, wanita mampu melahirkan tetapi lelaki tidak mampu. Maka tugas melahirkan itu diletakkan kepada wanita.
Qasdi               : Itu terlalu jelas, tidak siapapun mempertikaikannya. Bagaimana pula dengan soal mendidik anak contohnya. Kenapa wanita perlu lebih memberi perhatian di rumah berbanding lelaki?
Ummu Qasdi   : Bukankah kelembutan dan kasih sayang seorang wanita itu menyebabkan jiwa anak lebih mudah dilentur? Malah, secara fitrah, anak lebih menyayangi ibu berbanding ayah kerana ibu lebih banyak mendampingi dan menguruskannya. Malah, Islam menganugerahi darjat ibu 3 kali ganda lebih utama daripada darjat ayah. Nah, tanggung jawab berat seorang ibu berbalas cinta mendalam seorang anak. Apa lagi yang perlu dicemburukan pada kaum ayah jika mereka kurang memperhatikan anak?
Qasdi               :Berbalik pada soal hijab...
Ummu Qasdi   : Hijab atau jilbab?
Qasdi               : Bukankah ia sama?
Ummu Qasdi   : Sama tapi tidak serupa. Hijab lebih luas maksudnya. Ia mencakupi segala sesuatu yang menjadi pemisah antara lelaki dan wanita termasuklah jilbab dan khimar. Jilbab lebih spesifik.
Qasdi               :Jilbab dan khimar?
Ummu Qasdi   : Jilbab itu dalam Bahasa Arab bermaksud baju labuh dan longgar dan menjulur hingga ke bawah seperti jubah dan baju kurung atau baju mana-mana budaya lain yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam. Islam sebagai agama sedunia (a’lami) mempunyai toleransi kepada adat dan budaya selagi ia tidak bercanggah syariat.
Qasdi               :Khimar pula?
Ummu Qasdi: Khimar adalah tudung kepala. Ia juga wajib sebagaimana disebut dalam Surah al-Nur.
Qasdi               : Kenapa ramai wanita Arab yang belajar di sini memakai jubah yang tebal tetapi tudungnya singkat? Adakah sempurna auratnya ditutup?
Ummu Qasdi: Wanita Arab kebanyakannya memiliki jilbab (jubah) yang sangat tebal, keras dan tidak membentuk badan sedikitpun. Oleh sebab itulahkhimar atau tudung kepalanya singkat. Ia sudah memenuhi kehendak menutup aurat. Sementara di Malaysia, jilbab (baju kurung dan jubah) kita adalah nipis dan agak menampakkan potongan badan. Oleh sebab itu kita dianjurkan memakai khimar atau tudung kepala yang labuh.
Qasdi               : Kalau begitu, bicarakan  pula hijab dengan definisi yang luas.
Ummu Qasdi   :Baiklah. Nuansa kecantikan pada wanita berbeza dengan lelaki. Lelaki secara fitrahnya ingin menikmati keindahan ini. Maka, Islam datang melindungi wanita dengan mengatur cara yang mulia dan bermaruah untuk lelaki meneguk keperluan biologi ini. Bukan sewenang-wenang. Wanita juga tidak lengkap tanpa lelaki. Islam meletakkan batasan. Hijab salah satu ubat supaya dapat menjaga batasan.