Wednesday, 30 May 2012


Sayyidah Khadijah : Bantulah Aku Untuk Meneladaninya



Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya di waktu akhir zaman ini.
Sedar atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti. Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini, keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut tidak tercapai.
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir'aun"
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim) 
Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.
Mengenali Wanita Ummul Mukminun
Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi dan dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Penulisan ini tidak bercadang untuk menulis semula sejarah hidupnya tetapi ingin menggali sedalam-dalamnya siapa itu wanita ini yang satu-satunya mendapat 'salam' daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s.
Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah. Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada beliau. Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda;
"Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi dan mencintai Khadijah"
Rasulullah s.a.w bersabda;
"Cintailah Allah kerana Dia memberi ni'mat kepadamu, cintailah aku kerana Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku"(Riwayat At Tarmizi)
Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau.

Sekiranya persoalan-persoalan seperti ini telah ada di dalam hati kita, ini bermakna kita sebenarnya masih gagal untuk memupuk rasa cinta dan kasih kita kepada insan yang paling agung dan mulia serta paling sempurna di sisi Allah SWT iaitu Muhammad s.a.w.
Untuk mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah r.a, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca biografi beliau, membaca dan menggali apa sumbangan beliau sehingga mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT dan apakah sumbangan beliau kepada kita. Kita harus mencari kekuatan dan kesempurnaan Sayyidah Khadijah r.a malah berusaha menjadi wanita yang berjiwa besar seperti Sayyidah Khadijah Al Kubra!
Benar, jika kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita akan berusaha untuk memenuhi keinginan kita untuk mengenali latar belakang orang tersebut sebanyak yang mungkin. Kita berusaha seboleh-bolehnya ingin mengetahui apa yang dilakukannya setiap saat dan ketika. Apa yang mendorong kita untuk mengenalinya kalau tidak kerana cinta dan kasih kita!
Sayyidah Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri malah seorang sahabiah kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah SWT. Namanya terpahat di hati Nabi s.a.w.
Apakah keistimewaan yang diraih oleh Sayyidah Khadijah r.a dan disandang olehnya sebelum menjadi dan selepas menjadi isteri kepada baginda s.a.w? Terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.
1.  At Tohirah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.
Beliau kerap mendatangi Waraqah Ibn Naufal dan mendapatkan banyak cerita-cerita tentang Bani Israil dan agama Nasrani. Malah beliau telah mengetahui khabar tentang adanya kenabian di akhir zaman dan menjadi harapan kepadanya untuk menunggu kedatangan nabi tersebut. Beliau juga sering bertanya dengan Waraqah Ibn Naufal tentang Allah dan tentang kekuasaan Allah SWT.
Walaupun beliau seorang yang hartawan dan berjaya dalam perniagaan, tetapi hatinya mencari-cari tentang agama yang benar yang diturunkan kepada Nabi akhir zaman. Aqidah beliau terjaga dan beliau tidak pernah menyembah berhala. [3] Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a merupakan wanita yang suci zahir dan batin, luar dan dalam dan sentiasa mencari Nur yang diyakini akan sampai.
Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a sebenarnya telah menunjukkan tauladan untuk kita wanita Islam zaman kini. Tatkala masyarakat kita hari ini dalam kebingungan dengan isu pembuangan bayi. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sahaja sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan manakala bagi tahun 2010 telah pun mencatat sebanyak 60 kes. Bukankah ini di antara ciri-ciri masyarakat zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam? Benar, faktor penzinaan yang berlaku dalam masyarakat kita yang kini seolah-olah telah diterima sebagai nilai dalam hidup merupakan punca kepada pembuangan bayi.
Punca kepada berlakunya penzinaan adalah kedangkalan dan kebebalan dalam memahami asas kepada pegangan hidup iaitu agama Islam.
Sayyidah Khadijah At Tohirah sebenarnya telah memberikan contoh yang hebat di mana beliau seorang yang sangat menjaga diri dan kehormatannya walaupun pada ketika itu gelombang penzinaan bermaharalela dalam masyarakat Arab Jahiliah. Beliau berpegang kepada apa yang telah disampaikan oleh Waraqah Ibn Naufal kepadanya. Sungguhpun beliau seorang yang hartawan dan memiliki kekayaan yang banyak, tetapi beliau tidak pernah lalai dan leka dengan kemewahan tersebut. Justeru, bukankah Sayyidah Khadijah At Tohirah telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebetulnya?
2. Sayyidah An Nisa i Quraisy
Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada beliau. Sungguh beliau tidak pernah mengecewakan!. Sifat pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah lokek dengan kesenangan dan kekayaan yang dimiliki sehingga ianya dapat dirasai oleh masyarakat yang hidup bersama-samanya. Justeru, bukankah Sayyidah An Nisai Quraisy telah menunjukkan tauladan yang terbaik buat kita?

3. Ummul Mukminin
Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. Keterkaitan Sayyidah Khadijah r.a dengan Rasulullah s.a.w telah mengubah kedudukan dan kemuliaan beliau. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Sayyidah Khadijah r.a sentiasa menjadi penyokong dan pembantu kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang menyebabkan ketenangan jiwa Rasulullah ketika berkhalwat di Gua Hira'? Siapakah yang tidak pernah putus asa menyokong dan membantu Nabi s.a.w? Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah bertanya apatah lagi menghalang Nabi s.a.w untuk beribadah sebulan lamanya di Gua Hira yang penuh dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Sayyidah Khadijah r.a memanjat Jabal Nur ke Gua Hira yang jauhnya tiga batu demi untuk menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. sehingga Sayyidah khadijah r.a menerima 'salam' daripada Allah SWT malah Malaikat Jibril a.s turut sama menyampaikan 'salam' kepada Sayyidah Khadijah r.a. Kecerdikan dan kepintaran Sayyidah Khadijah r.a terserlah apabila beliau menjawab 'salam' daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s dengan lafaz " Allah yang Maha Salam, Allah yang daripadaNya datangnya 'salam'. 'Salam' datang daripada Allah SWT, untuk Jibrail pun aku sampaikan 'salam' dan kepadamu juga ya Rasulullah s.a.w aku sampaikan 'salam'.
Sayyidah Khadijah r.a telah menyerahkan segala harta dan kekayaan miliknya kepada Rasulullah s.a.w dan ianya merupakan modal pertama di dalam penyebaran dakwah Islamiah. Justeru, disebabkan kerana pengorbanan Sayyidah Khadijah r.a inilah maka agama Islam sampai kepada kita hari ini. Sayyidah Khadijah r.a adalah perantara kita dengan Allah SWT. Tidakkah kita masih tidak mahu mengenang walau sedikitpun Sayyidah Khadijah r.a dalam hidup kita?
Apabila berlakunya peristiwa Kaum Kafir Quraisy membuat resolusi dalam parlimen mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib, Sayyidah Khadijah r.a tidak termasuk dalam kalangan kedua-dua Bani tersebut. Tetapi Sayyidah Khadijah r.a tidak mahu meninggalkan suami tercinta, maka beliau masuk ke dalam perkampungan Bani Hashim dan Bani Abdul mutallib. Pada ketika itu Sayyidah Khadijah r.a berusia 60 tahun. Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi beliau sanggup berada di samping suami dalam kepungan Kaum Kafir Quraisy. Bekalan makanan dan bantuan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib disekat dan tidak dibenarkan sesiapapun berurusan dengan mereka. Oleh kerana tiada bekalan makanan, mereka hanya makan rumput rampai, daun-daun sehingga pecah-pecah mulut mereka demi untuk meneruskan kehidupan.
Adakalanya saudara mara Sayyidah Khadijah r.a menusup masuk membawa makanan seperti gandum untuk diberikan kepada Sayyidah Khadijah r.a. Namun kemuliaan dan ketulusan hati Sayyidah Khadijah r.a tiada bandingan. Beliau tidak makan seorang diri malah dikongsikan bersama-sama dengan yang lain sehingga diriwayatkan bahawa yang paling mendapat sedikit makanan itu adalah Sayyidah Khadijah r.a! Sayyidah Khadijah r.a boleh sahaja membuat pilihan untuk berehat di rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya tetapi kerana kecintaan dan kasihnya kepada suami tercinta, beliau tidak pernah walau sesaat berenggang dengan Nabi s.a.w.
Selama tiga tahun mereka berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy dan apabila resolusi tersebut dimakan oleh anai-anai, maka berakhirnya kepungan itu. Sayyidah Khadijah r.a sudah tidak bermaya dan lemah ketika keluar dari tempat kepungan tersebut. Sayyidah khadijah r.a telah kepenatan menemani Rasulullah s.a.w. Akhirnya wafatlah Syahidatul Sya' iaitu wanita yang mati syahid kerana kepungan kaum kafir Quraisy. Pemergiaannya benar-benar telah menyedihkan Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukminin. Beliau bukan sekadar menyerahkan segala hartanya tetapi jiwa, raga dan jasadnya diserahkan kepada Islam!
4. Saiyidatul Nisa' Ahlul Jannah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga.
Apabila Sayyidah Fatimah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Di manakah ibuku? Rasulullah s.a.w bersabda; "Bahawasanya ibumu berada di dalam sebuah rumah di dalam syurga di mana rumah itu tiada penat dan hiruk pikuk di dalamnya. Rumah itu dibina dari permata luluk dan zamrud"
Kenapa tidak ada penat? Kenapa tidak ada hiruk pikuk di dalamnya? Ini kerana Allah SWT telah menggantikan kepenatan dan keletihan Sayyidah Khadijah r.a di dunia ketika menemani Rasulullah s.a.w sejak dari ketika Nabi s.a.w menerima wahyu sehingga Nabi s.a.w berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy.
5. Sayyidah Khadijah r.a : Madrasah dan Universiti Terbaik Tiada Tolok Bandingannya.
Di rumah Sayyidah Khadijah r.a telah lahirnya pahlawan dan panglima Islam yang hebat. Pentarbiyyah dan pendidikan di rumah beliau sangat luar biasa dan merupakan sebuah madarasah dan universiti yang tiada tolok bandingannya. Tiada yang mampu menjadi sehebat Sayyidah Khadijah r.a. Berkat asuhan dan didikan Sayyidah Khadijah r.a , maka lahirnya generasi Islam yang hebat seperti Saidina Ali Karamallah Wajha. Saidina Ali Karamallahu Wajha ini diambil oleh Rasulullah s.a.w daripada bapa saudaranya Abu Talib sebagai mengenang jasa Abu Talib yang menjaganya semasa kecil. Bagitu juga dengan Zaid Bin Haritsah, Zubair Bin Awwam dan beberapa lagi nama-nama pahlawan Islam yang hebat yang lahir dari didikan Sayyidah Khadijah r.a. Ibu Mithali yang tiada tolok bandingannya.

Cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a.
Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w sentiasa menyebut nama dan segala kebaikan Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w tidak pernah tidak menyebut nama Sayyidah Khadijah r.a sebelum keluar daripada rumah baginda s.a.w sehingga telah timbul kecemburuan di hati Saidatina Aisya r.a.
Rasulullah berasa begitu marah apabila mendengar persoalan itu lalu baginda s.a.w bersabda;
"Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak".
(Riwayat At Tabrani) 
Rasulullah s.a.w sentiasa memberikan hadiah kepada saudara mara dan sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a. Apabila Rasulullah s.a.w menyembelih kambing, baginda s.a.w tidak pernah lupa untuk memberikan beberapa bahagian untuk sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a Betapa cinta dan kasihnya Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a. Walaupun Sayyidah Khadijah r.a telah meninggalkan Rasulullah s.a.w tetapi baginda s.a.w tetap sentiasa menjaga hubungan baginda s.a.w dengan saudara mara dan sahabat Sayyidah Khadijah r.a
Untuk kita bagaimana pula? Sudahkah ada cinta dan kasih sayang kita pada Sayyidah Khadijah r.a.
Fahami dan Hayatilah Perjuangan Sayyidah khadijah r.a
Penulisan ini sebenarnya tidak layak dan tidak mampu untuk menggambarkan siapa sebenarnya insan yang mendapat tempat teristimewa di hati Rasulullah s.a.w. Namun, dalam usaha untuk mengenali,mencintai dan mentauladani suri hati Rasulullah s.a.w ini, hati tekad untuk menulis sedikit tentang Sayyidah Khadijah r.a dengan harapan dapatlah diri menagih cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w apatah lagi syafaat baginda s.a.w yang di dambakan.

iluvislam

 Royal Cheesecake


Cheesecake amat digemari oleh golongan tua mahupun muda. Cara pembuatan cheesecake sebenarnya mudah sahaja, malah kita boleh lakukannya sendiri mengikut kreativiti. Oleh itu, Selamat Mencuba!
Bahan-bahan :
  • 250g cream cheese
  • 200ml fresh cream/plain yogurt
  • 90g gula
  • 3 sudu besar tepung gandum
  • 2 biji telur
  • jus lemon
 Cara masakan :
01.Mula-mula, Panaskan oven 170 degree dan sapukan loyang dgn butter
02.Kemudian, Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mesin pengisar. Kisarkan ia sehingga menjadi lembut
03.Seterusnya, Masukkan campuran bahan-bahan tadi ke dalam loyang dan bakarkan ia selama 30 hingga 45 minit
04.Akhir sekali, apabila kek masak, sejukkan ia dan simpan ke dalam peti ais semalaman(Anda juga bolehlah menyapu jem strawberry/bluberry/ atau oreo yang telah dikisar di atas permukaan kek)


Untukmu Gadis Yang Meningkat Remaja



Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki.
Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.
Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah.
Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.
Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung.
Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan.
Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"
Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukumMu".
Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.
Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.
Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?"
Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik.
Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku?
Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu.
Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.
Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah.
Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.
Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan.
Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.
Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak.
Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun).
Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.
Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah.
Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya.
Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!
Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.
Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.
Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini.
Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.
Butirannya seperti ini, soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku: Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri jiranku: Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Annisa: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.
Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?
Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!
Annisa: Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Annisa: apakah hakikat tudung?
Isteri jiranku: Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia.
Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.
Annisa: Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.
Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.
Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab.
Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.
Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu
"buta, tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"
Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua, wassalam.

iluvislam

Cinta Itu Seperti Garam


Amir dan isterinya sedang berada di dapur.
"Abang, sayang minta maaf kerana abang yang terpaksa memasak pada hari ini."
Amir tersenyum.
"Sayang sudah masakkan makanan yang sedap untuk abang hampir setiap hari. Kali ini, biarlah abang pula yang memasak untuk sayang. Sayangkan demam, sayang berehatlah."
Aisyah berkata,
"Tugas memasak, abang serahkanlah kepada Aisyah. Abang sudah seharian bekerja untuk mencari rezeki. Kini giliran Aisyah pula untuk melayani abang. Memasak dan melayan abang adalah kerehatan untuk Aisyah."
Amir berkata,
"Malam ini, biarlah abang yang memasak untuk Aisyah. Bukan selalu Aisyah dapat merasa masakan abang. Aisyah bimbang masakan abang tidak sesedap masakan Aisyah?"
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Masakan abang tentulah sedap, tetapi tidaklah sesedap masakan Aisyah."
Amir tersenyum dan membalas,
"Masakan abang makin bertambah sedap. Selepas ini Aisyah akan merayu-rayu meminta abang supaya memasak untuk Aisyah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Aisyah tahu, abang memasak menggunakan perencah kasih sayang, sebab itulah masakan abang makin bertambah sedap."
Amir tersenyum dan bertanya kepada Aisyah.
"Sayang, berapa banyak garam yang perlu abang masukkan ke dalam masakan ini?"
Aisyah menjawab,
"Abang masukkanlah garam dengan secukup rasa. Jangan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Boleh sayang tolong abang untuk masukkan garam ke dalam masakan ini? Abang terpaksa mengalah, sayang lebih pakar dalam hal memasak berbanding abang."
Aisyah tersenyum dan menolong suaminya.
"Abang tahu kenapa kita kena masukkan garam dengan secukup rasa sahaja? Kenapa tidak boleh terlalu banyak atau tidak boleh terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Tukang masak profesional mahu menguji abang, ya? Kalau terlebih garam, masakan akan jadi masin dan kalau terkurang garam pula masakan akan jadi tawar."
Aisyah tersenyum.
"Kalau garam perlu dimasukkan dengan secukup rasa, bagaimana pula dengan cinta?"
Amir tersenyum dan menjawab,
"Abang mungkin kalah dengan Aisyah dalam hal memasak, tetapi abang tidak mahu kalah dengan Aisyah dalam soal cinta."
Aisyah tersenyum dan Amir meneruskan kata-katanya,
"Abang berikan cinta abang kepada Aisyah dengan secukup rasa. Cinta yang abang berikan kepada Aisyah, tidak lebih dan tidak kurang. Semoga cinta antara abang dan Aisyah tidak akan melalaikan kita daripada mengingati Allah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Abang memang pakar dalam bercinta. Makin hari, makin Aisyah cinta kepada abang. Kadang-kadang, Aisyah rasa abang adalah pakar bius. Aisyah dibius cinta."
Amir tersenyum.
"Nasib baik abang tidak menjadi doktor. Kalau tidak, ramai pula pesakit yang terbius dengan bius cinta abang."

iluvislam

Ada Solehah Dalam Diriku



Izah mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak sendiri dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan tuala pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah nya itu.
Dia menapak ke sisi katil. Telefon bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia berkelip. Ada dua mesej tertera. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk dibuka. Izah duduk di tepi katil, lantas menekan butang 'open'. Ada mesej dari Ikhwan, ada mesej dari Dzikry. Sambil senyum tipis, membaca sekilas mesej Ikhwan, Izah membiarkannya. Membuka pula mesej Dzikry, juga tersenyum tipis.
Izah berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia meletakkan telefon bimbit itu ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen Nivea kemudian melumurkan ke bahu kanannya. Jam dari laptopnya berdenting sekali menandakan sudah pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang 'reply'.
"X wat apa pun..baru siap mandi.."
Izah menekan butang send.
Pintu bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak. Muncul Fasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Fasihah nampak manis dan sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna pastel yang lain. Tompokan bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac tambah menyerikan gadis itu. Sedang Izah ada di birai katil, dengan handphone di tangan, masih selesa berkemban dengan kain batik.
Fasihah cermat-cermat meletakkan baldi berisi bekas mandi dan peralatan mandinya bersebelahan baldi Izah di ruang kanan bilik itu. Kipas siling di bilik 30x25 itu berpusing ligat. Fasihah lantas meleraikan balutan rambutnya. Terurailah rambutnya yang ikal mayang berkilat santak ke punggung itu. Dia mengambil sikat dan menyikatnya perlahan. Usai merapikan rambut, dia terus menyarungkan jubahnya. Anak telekung dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya. Dia membuka lokernya, menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang sarung kaki coklat yang baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan sarung kaki tersebut.
Izah terus-terusan menghadap handphonenya. Fasihah melihat wajahnya sekilas di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan sudah pukul 7.15 malam.
"Ahh..aku perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah," bisik Fasihah.
Fasihah senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong. Fasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur'an hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati Izah.
"Aik..selalunya dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah aku serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je pun..nak pakai stokin jugak..hai.." Izah senyum sinis sambil terus menyambung menaip pesanan ringkas.Dzikry menunggu di hujung sana.
Tepat pukul 9.30 malam, Fasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya di hujung katil, Fasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi mesej YM.
"Zah, jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang bagi, dia ajak singgah ke biliknya lepas solat Isya' tadi. Baik sangat dia, padahal baru kenal tadi."
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
"Emm, takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak makan sangat..takut badan naik..haha," jawab Izah berbasa-basi.
"Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan.." Fasihah senyum ceria.
Fasihah mengambil sekeping biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran Bismillah kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung biskut di rak teratas, Fasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk mengadap ke arah kiblat, Fasihah membuka buku tersebut dengan bacaan Bismillah.
"Eii.. tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama orang tua je.. Em, hairan aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah, kejap Suhaila, kejap Aina, kejap Amalina..mm..apa-apa jelah..." gumam Izah di dalam hatinya.
Pukul 11.30 malam, Fasihah beberapa kali menguap. Izah masih tekun di hadapan laptopnya. Facebook sedang dilayari. YM masih terus dilayani, malah tambah rancak berbunyi.
Fasihah bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi, membersih muka dan meratakan air wudhu', dia menapak ke biliknya.
Fasihah membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
"Zah, hah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau... nanti ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe.."
Izah senyum pada Fasihah.
"..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni.."
Fasihah sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
"Ahh..belum solat Isya' lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak.."
Izah terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga merah itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi. Tidak lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi...
Pukul 3 pagi, Fasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu. Menyegarkan diri dengan air wudhu', Fasihah mengenakan telekung solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan dirinya untuk solat malam.
Ahh.. solat malam. Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, dicintai Allah dan pasti masuk syurga itu saja solat hingga bengkak kakinya. Sedang aku ini.. Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah?? Tak pasti... Syurga?? Ahh.. aku yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi. Justeru itu.. izinkan aku bangun di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh tulus di hadapan-Mu Ya Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka Mathluubi..
Sekejap sahaja air mata penuh di tubir mata Fasihah. Sendunya berlagu perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa dia bertawakkal. Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur'an barang tiga muka, solat witir, Fasihah merebahkan badan kembali, dengan mata yang masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
"Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call... bunyinya macam lain.." Fasihah terkejut.
"Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?" Fasihah berteka-teki.
"Alhamdulillah.."
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
"Mungkin dia tidur lewat. Penat benar.." terka Fasihah.
Atas dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Fasihah menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak, masakan dia set alarm handphonenya.
"Zah.. Em.. Izah... Izah. Izah nak bangun ke?" Fasihah menyentuh kaki Izah lembut. Kemudian, Fasihah berhati-hati menggoncang bahu Izah.
"..Ha..Emm..Ya..Ya.." Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Fasihah kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
"Aduh!! Solat Isya'!"
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu'. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
"Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti... macam dua hari lepas..."
Bukan tak selalu Izah begitu. Qadha' solat disebabkan kebiasaannya melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus. Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
"Tak banyak beza antara aku dan dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang sama saja dengan aku. Aku lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia. Tapi, kenapa dia sangat menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah. Kalau aku pun dah fikir begitu, entah apalah pandangan dan fikiran lelaki lain. Agak-agaknya dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia cakap pasal lelaki. Kalau kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal topik tu.. habis-habis tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu semasa... tarbiyyah...apa tu? Aku??.." Izah bermonolog dalam hati sendiri.
"..Waktu tidur, Fasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut dan bersih itu. Aku? Entahlah...Ahhhhh..." Izah membanding beza lagi. Menjerit kecil dalam relung hati sendiri.
Pandangan mata Izah tertancap pada tangan Fasihah. Lengan bajunya tersingkap ke paras siku. Ada garis di situ. Garis di pergelangan tangannya jelas kelihatan.
"Ah.. jarang sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering berkemban macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma tangannya je yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya dengan baik sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana ke mari.." Izah mula sebak.
Dia memandang kembali wajah Fasihah. Garis yang sama juga kelihatan di sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana dia istiqamah dengan tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menurut foto yang dilihat Izah di atas meja belajar Fasihah.
"..Ya, dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku sahaja yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia mengenakan telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan jiwa.."
Izah segera teringat. Waktu itu Fasihah tertinggal bakul bajunya di bilik. Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu menjadi bualan. Aku tentang Dzikry dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan romantik katanya.
Selepas Zura berlalu membawa bersama pinggan-pinggan dan mug yang katanya tidak berbasuh sejak dua hari lepas, Fasihah segera memanggilku dari dalam bilik air. Dia meminta tolong supaya mengambil bakul baju tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku tidak pernah meminta tolong darinya sebegitu.
Saat aku menyuakan bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia berkemban, dan kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul tersebut dan mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali pintu bilik air. Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
"Aku ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah? Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!" Air mata Izah tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman se'kepala'nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : "Untuk apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!" Awalnya dia bersetuju. Lama kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata ustazah, "Hipokrit yang bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau kita boleh memilih.. telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita mahu yang gred A. Justeru itu juga dalam kita memilih halatuju hidup kita. Tentunya kita mahu semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya, pergaulannya, pemakaiannya, semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu tentulah sudah ada dalam suluhan agama. Hanya kita selama ini yang hipokrit, memilih gred B, C dan sebagainya sedangkan hati kita sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita asalnya cenderung pada Gred A, kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah. Cuma kita yang menjadi hipokrit pada diri sendiri, menafikan kemahuan hati sendiri, ego pada kata hati sendiri!"
Selepas banyak berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan mengenai perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Fasihah, aku sebenarnya rasa malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego. Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam. Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku sudah menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi. Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan. Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik, malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka. Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya. Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup ini....
Di saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan Fasihah. Apatah lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil dan hina di hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Fasihah. Namun aku amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan mungkin sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih tersekat-sekat jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam genggamanku, apatah lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan tiba ke pantai kemanisan iman..
Fasihah bergerak-gerak. Aku segera menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi lain. Fasihah bangun, melipat selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia segera menuju ke bilik air bersama baldi dan tualanya. Tak lama kemudian, dia kembali ke bilik. Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang hidup.
"Emm...... tak ke surau ke....." tuturku lambat-lambat.
"Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?" Fasihah terkejut.
"Haa...takde apa-apa.."
Fasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada fajar yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala fitrahku yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa indahnya hidup bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam setiap hela nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ...
"Sesungguhnya Dunia dan Segala Isinya adalah Perhiasan.. dan Sebaik-Baik Perhiasan Dunia ialah Wanita Solehah..."

iluvislam