Monday, 23 July 2012


Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba?




Beberapa hari lalu saya bersembang dengan anak perempuan saya, Najwa, tentang perkahwinan.
"Najwa, nanti bila dah dewasa nak abah dengan mama carikan calon suami atau nak cari sendiri?"
"Apalah Abah ni, lambat lagilah nak kahwin. Not interested to discuss this topic. NEXTTTT..." jawab Najwa selamba.
"Awa, nanti bila Awa dah kahwin kan, Awa nak anak berapa ya?"
"Ish Abah ni, tak habis lagi rupanya. Awa tanya abah baliklah, ha nanti Abah nak cucu berapa?"
"Abah nak ramai cucu. Nanti senang nak pilih mana satu nak wrestling dengan atok mereka.Best cucu ramai ni tau."
Mengekek kami ketawa.
Saya dan Ain berkahwin pada usia yang muda (dalam konteks zaman kami dianggap muda bila berkahwin pada usia 24 tahun). Pada usia 25 tahun kami dikurniakan Najwa. Indahnya dianugerahkan anak pada usia berkenaan walaupun saya dan Ain tidak mempunyai masa untuk berseronok-seronok ke sana sini seperti ketika zaman bujang kami.
Ramai kawan-kawan yang mengusik Ain dan saya (kerana kami sebaya) semasa kami hulurkan kad jemputan perkahwinan.
"Wah, cepatnya kahwin. Amboi, tak tunggu lama pun ya?"
"Ewah, terus ngap sayot aja ya? Kenal enam bulan terus nak kahwin dah. Tak enjoy dulu, Naz? Rugi tau tak enjoy."
"Baru umur 24 korang dah nak kawin? Ekonomi tak stabil lagi. Gaji baru berapa sebab baru kerja. Nanti belum apa-apa dah ada anak. Perempuan cepat nampak tua bila dah beranak pinak tau. Nanti tak sampai 30 tahun dah macam 40-an..."
Semua usikan ini kami hanya balas dengan senyuman.
Disember ini usia perkahwinan kami mencecah 16 tahun. Anak-anak juga sudah ada yang remaja. Najwa sudah 15, Najman 13 dan Najmi 11 tahun.
Lucunya bila berjumpa teman-teman yang mengusik dahulu kerana lain pula nada usikan mereka sekarang.
"Eh, dah ada anak dara dah kau Naz. Dua hero ni pun dah bujang dah haa. Aduhai, anak aku baru sekolah tadika anak kau pulak dah tak lama nak masuk universiti."
"Adui, ruginya kahwin lewat ni. Untung kau, Ainon. Najwa dah macam adik-beradik dah dengan mamanya."
Sekali lagi kami tersenyum.
Teringat saya satu cerita yang pernah kami sembangkan pada suatu petang semasa Najwa masih berusia tiga tahun.
"Ain, nanti kan masa umur kita 50 tahun, Najwa dah 25 usianya. Dah keluar universiti dah. Bolehlah dia tanggung belanja adik-adiknya nanti."
"Entah-entah dia ikut jejak kita bang, habis belajar terus kahwin. Belum pencen dah bercucu dah kita agaknya.
"Abang tau tak masa kat office kan, kadang-kadang we just know that we have shifted gears and moved on with our life compared to our peers?" balas Ain.
Tekun saya memasang telinga.
"Tadi masa kat office, sembang masa lunch dengan kawan-kawan. Ada yang sama umur dengan kita, ada yang senior.
"Masa geng yang dah ada anak-anak kecil macam kita sembang pasal pampers, ruam lampin, anak dah mula merangkak dan tumbuh gigi, ada yang lagi senior usianya daripada kita dan belum berkahwin bersembang perkara-perkara yang kita dah tak boleh nak relate dah tau bang."
"Hmm... Abang tak faham ni, maksud Ain?"
"Mereka ni cerita benda-benda macam erm... nanti nak kahwin nak lelaki yang hensem, yang ada kumis, ada yang kata nak lelaki seksi ada bulu dada. Ish, dah tak boleh masuk dah kita dalam cerita-cerita macam ni.
"Bila fikir, kan bang, kesian sebenarnya. Apalah yang kawan-kawan kita yang belum kahwin tu cari agaknya dalam pasangan mereka, kan?
"Nak cari 'Mr Perfect' agaknya. Tinggi sangat benchmarknya. Sampai sekarang masih sendiri.

"Mereka ni semua sunyi tau, bang? Tak ada pasangan yang nak kongsi kegembiraan, kesedihan, menjadi tempat mengadu... Kesian, kan?"
Saya terdiam seketika cuba menyusun ayat.
"Mana ada manusia sempurna, kan Ain? Semua kita ni ada kekurangan. Yang sempurna tu Allah SWT.
"Setiap pasangan tu memang ditakdirkan jodohnya saling melengkapi. Kurang si lelaki ditampung isteri. Macam tu jugak sebaliknya. Macam kita ni kan saling melengkapi, kan?"
"Maksud abang?" desak Ain inginkan kepastian.
"Macam kita nilah. Ain suka dengar, abang yang banyak cakap. Abang tak pandai Matematik, Ain ada degree dalam Matematik. Kalau makan ayam goreng, abang tak suka peha ayam tapi sukakan bahagian kepak dan dada. Ain pulak sebaliknya. Kan saling melengkapi tu?
"Sepatutnya kita ni memang kena memilih tapi harus bertempat. Kita boleh letak senarai KPI (Key Performance Indicator) yang kita kehendaki daripada pasangan kita tu tapi tak bolehlah kesemua KPInya nak dipenuhi.
"Kalau ada katalah sepuluh perkara yang kita nak daripada pasangan kita. Janganlah nak dapatkan kesemua sepuluh kriteria baru nak kahwin. Dapat tujuh jadilah dulu. Tiga lagi kriteria tu kita binalah dalam alam rumahtangga.
"We have to be practical as we do not live in an ideal world," jelas saya.
Ain mengangguk.
"Wah, pandai abang Matematik tu. Dah siap pakai percentage dan nisbah bagai tu ha," usik Ain.
Berderai ketawa kami berdua.
Apa yang kita tunggu sebenarnya? Kenapa jodoh kita tak kunjung tiba?
Saya nak kongsikan sedikit apa yang saya temui di dalam buku yang dihadiahkan sepasang teman rapat saya. Buku ini bertajuk 'Inspirasi Cinta Terhebat'. Intailah mukasurat 3 bahagian tengah yang bertajuk "Ya Allah, aku tak ingin sendiri – Kenapa jodoh tak kunjung datang?"
Persoalan yang saya tanyakan tadi disusul soalan dalam buku yang ditulis Burhan Sodiq dengan bersahaja.
Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh? Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu, sambil berharap penuh cemas? Atau adakah kita akan melakukan 'sesuatu', agar jodoh itu datang menyapa?
Soal jodoh ini bukan soal enteng, kan?
Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas, kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan sensitif yang bertubi-tubi.
Apabila kita ke kenduri-kendara, contohnya. 'Sosek-sosek' orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita, "Ish anak kamu tu lawa orangnya, berpendidikan pulak, apa lagi yang dicarinya tu bang/kak?" atau "Lewat sangat usianya anak abang tu, takda calon lagi ke?"
Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga, tapi kalau selalu? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri-kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini.
Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi pelbagai jawapan yang rasional kenapa masih membujang. Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai, ekonomi belum stabil, masih belajar lagi, takut terkongkong dan sebagainya. Terpulanglah.
Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumah tangga yang disebutkan di dalam Al-Qur'an;
"Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui"
(Surah An-Nur, ayat 32)
...dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus; "Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)."
Sebab itulah orang tua kata jangan risau jika lepas berkahwin dan mempunyai anak tak cukup wang untuk bagi anak-anak makan kerana adalah 'rezeki anak' itu nanti. Pernah dengar, kan, begitu?
Kepada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu;
1. Jika dipandang membuat semakin sayang,
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga kehormatannya dan;
3. Taat pada suami
Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda; "Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya, maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya. Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya, membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim, Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut."
Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa, inginkan perkahwinan yang glamor umpama puteri raja, tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal, cacat anggota dan rasa rendah diri, tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu, langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga.
Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia.
Insya-Allah.

Sunday, 22 July 2012


Terawih Pertama


Riuh rendah.. "Esok puasa esok puasa!".Begitulah keadaanya apabila pengunguman puasa dimaklumkan melalui televisyen mahupun radio. Di Malaysia telah diumumkan bahawa 1 Ramadan telah jatuh pada hari sabtu. Dan di Jordan pula masih menunggu pengumuman memandangkan jarak masa Malaysia dan Jordan 5 jam. Sungguh tidak sangka, Ramadan datang awal dari jangkaanku.
Usai mengerjakan fardhu maghrib, aku mengemas bilik, untuk persediaan Ramadan. Sebelah petang tadinya sudah bertungkus lumus mengemas dapur, menyental lantai setelah pulang dari balad (pasar) untuk membeli keperluan rumah. Fikirku malam ini ingin berehat dan melelapkan diri lebih awal. Akan tetapi, setelah kecoh bahawa esok puasa, bergegas aku membersihkan diriku yang kurang harum dek megemas rumah dan menyental lantai.
Niatku untuk berehat dan bersenang lenang malam ini perlu dibatalkan dan berpindah ke plan B, iaitu malam pertama terawih di masjid! Penatku yang tidak sempat merehatkan badan sejak pulang dari kelas siang tadi perlu dilupakan, kepayahan mengharungi balad petang tadi dengan angin soifi (musim panas) yang terik serta lambakan manusia yang menyesakkan perlu dilupakan juga, demi menyambut tetamu mulia yang hanya berkunjung setahun sekali ini. Ramadan kareem.
Malam pertama terawih di bumi ini,  ''biladus shams'', (Jordan, Palestin, Syria, Lubnan), sungguh aku terharu dengan bacaan qunut imam masjid, panjang sungguh doanya dan penuh dengan kebaikan. Semua umat Islam didoakan, sahabat di Palestin, Syria dan negara-negara yang bergolak turut didoakan agar dilindungi dari ancaman musuh-musuh agama.
Entah kenapa, hatiku terharu. Sebak. Mengenangkan yang betapa tidak sangkanaya hari ini aku berkesempatan menunaikan terawih di bumi ini. Aku juga tidak sangka yang impianku suatu ketika dahulu ingin menjejaki bumi ini, kini menjadi kenyataan. Bumi yang penuh dengan barakah. Teringat aku dengan Kalamullah, di dalam Al-Quran, Allah mengatakan
"Negeri-negeri yang Kami berkati (Syam)" 
(Surah Saba' ayat 18)
Bukannya baru sebulan dua aku menjejakkan kaki di sini, malah hampir setahun. Tetapi baru seakan hari ini aku bersyukur dan sedar, aku sangat bertuah kerana Allah memilihku untuk berada di bumi impian. Hatta sahabat-sahabatku yang lain juga mengimpikan untuk berada di bumi impian ini. 

Hatiku sebak, ini adalah antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepadaku. Kini tempat idamanku berada di hadapan mataku. Mungkin kadangkala kita sendiri tidak pernah perasan akan nikmat yang Allah kurniakan, malahan sering kali mengeluh akan permintaan yang tidak dimakbulkan serta ujian yang ditimpakan.
Aku tidak pernah sangka yang aku berpeluang menunaikan terawih di tanah barakah ini. Malam ini aku adalah malam terindah yang pernah aku rasakan. Berjemaah solat sunat terawih dengan alunan ayat suci Al-Quran yang mempersonakan. Alhamdulillah, aku terpilih olehNya untuk menjejaki bumi ini. Moga doa sang musafir di bumi barakah ini diterima.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" 
(Surah Ibrahim ayat 7)
Moga kita semua sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan dan tergolong dalam hamba-hambaNya yang bertaqwa. Selamat memperbanyak ibadah!

*COPY PASTE

Saturday, 21 July 2012


Di Sebalik 'Belenggu' Niqab

Di sebalik niqab berwarna hitam itu, ada sepasang mata yang terlihat dan melihat. Dihujani ribuan pandangan aneh. Terasa begitu asing. Perbezaan yang serta-merta dapat dirasai menusuk segenap hati apabila diperhatikan berpakaian yang serba menutup sebegitu berbanding kebiasaan sering terdedah. Mata-mata yang seakan bersuara melahirkan simpati. Seharusnya, pada era fesyen ini segala trend jadi ikutan. Namun, bukan dia.
Ada yang merasakan dirinya berpakaian seperti tawanan. Setiap langkah mereka beriramakan suara yang berdesas-desus layaknya seperti juri yang menghakimi. Tatkala pilihan fabrik penuh warna-warni  yang menarik, masih ada yang mahu tampak serba pudar sepertinya.
"Jadi, inilah perubahan baru yang awak katakan antara simbolik bagi erti 'kebebasan' sebenar seorang wanita? Sememangnya perubahan yang benar-benar drastik, Fatihah! Tapi sejujurnya ini memang kebebasan yang lari daripada kebiasaan. Sungguh!" Kening Maisarah terangkat sedikit. Terkejut melihat sahabatnya berpakaian sedemikian. Jika bukan kerana Fatihah yang menyapanya terlebih dahulu, sudah pasti dia tidak mengenali gadis di hadapannya tadi.
"Absolutely, this is total freedom for me and my soul! I had never felt this kind of feeling before but now I know how it actually feels like. Peace and modesty. Saya dapat rasakan hati saya lebih selamat dan setiap pandangan yang melihat diri saya seperti refleksi dan reminder untuk mengingatkan siapa diri saya sebenarnya – hanya seorang hamba Allah," ujar Fatihah penuh bersemangat.
Senyuman yang terukir di sebalik kain yang menutup sebahagian wajahnya terserlah pada sinar matanya. Dia jauh lebih kemas dan berbeza daripada Fatihah yang dikenali sebelum ini. Kadangkala terfikir, betapa 'pakaian' bukan sahaja mampu mengubah pandangan segenap manusia terhadap si pemakai malah mengubah cara si pemakai itu sendiri memandang dunia.
"Awak tahu tak, pandangan mereka sangat menakutkan? Awak lebih banyak menarik perhatian dengan berpakaian sebegini. Ingat, ini bukan budaya kita seperti di tanah Arab tu. Tentulah mereka rasa janggal bila tengok awak. Malah, tak hairanlah mereka cenderung merenung awak." Maisarah masih kekok apabila hampir setiap orang yang lalu-lalang di pusat beli-belah memusatkan pandangan pada mereka berdua, khususnya Fatihah. Agak janggal duduk berdua dengan Fatihah sedangkan dirinya jauh berbeza.
"Kenapa perlu takut dipandang dengan pandangan aneh? Saya lebih takutkan Allah. Saya takut kalau-kalau pandangan mereka pada saya membuatkan Allah murka pada saya. Semua pancaindera ini pinjaman daripada Dia. Jadi, aurat saya juga tanggungjawab saya. Bukan niat saya mahu menarik perhatian atau menjadi bahan tarikan sedangkan pada dasarnya tidak ada apa-apa yang menarik pun untuk ditatap – hanya kain biasa yang tiada potongan.
"Saya mahu menjaga hati kecil ini daripada terus dizalimi dan menzalimi diri sendiri. Bukan kerana terikut budaya atau apapun. The truth is I am trying to dress for Allah and not for humans." Kelihatan air matanya bergenang. Sebak.
Dalam diri Maisarah mengakui keberanian Fatihah berhadapan insanity di sekitarnya dengan perubahan yang dibuat. Air mata di sebalik niqab itu terasa begitu mahal apabila tiada siapa yang melihat dan menyedari.
"Apa maksud awak dengan menzalimi dan dizalimi diri sendiri?"
"Saya sudah letih, Mai. Letih menjadi seorang yang seperti tercari-cari identiti. Letih bergantung kepada sesuatu untuk mengejar tumpuan. Letih untuk membanding dan mengukur 'kecantikan'. Hati pula mudah riak dengan pakaian yang dipakai. Malah, pujian yang diberi hanya kerana kecantikan dengan 'make-up' yang sementara dan segera hilang walau terkena air.
"Saya menzalimi diri sendiri kerana berani mencuba sesuatu yang di luar syariah hanya kerana mahu tampil berbeza dan cantik di pandangan mata manusia. Malah menzalimi keluarga dan orang lain kerana memberi saham dosa dengan aurat yang terdedah. Hati saya juga bagai dizalimi kerana tanpa sedar mengukur dan mengejar segala yang sementara. Bukankah Islam mengajar umatnya untuk bersederhana?" soal Fatihah.
"Betul juga. Media dan majalah di luar sana mendefinisikan cantik itu dengan cara mereka. Fesyen pula berpusat kepada menjadi atau mencuri tumpuan. Kita dikelilingi dengan persekitaran begini. Kita juga dibentuk dengan stigma yang mengikis rasa takut pada pandangan Allah berbanding pandangan manusia.
"Tapi, bukan mudah untuk lari daripada kebiasaan. Bukan mudah untuk berkorban dan bertahan dengan pakaian yang serba labuh dan menutup hampir seluruh tubuh kita pada zaman ni. Masih banyak etika yang perlu dipatuhi," kata Maisarah yang mulai akur sudut pandang Fatihah.
"Islam itu kan mudah, jadi usah diberatkan dan jangan ambil mudah. Jadilah hamba Allah. Bersederhana dan berniat segalanya kerana mencari redhaNya. Apa pakaian sekalipun yang mengikut syariah dan berpaksi kerana Allah pasti mendapat redhaNya, insya-Allah. Masing-masing punya cara sendiri tapi aurat kita sebagai wanita adalah tanggungjawab kita dan amanah daripada Allah. Berubah itu payah tapi jika dilakukan kerana Allah pasti segala susah dipermudahkan dengan hikmahNya," terang Fatihah.
"Tapi kan Fatihah, awak tak risau ke? Kalau awak  selalu keluar berpakaian macam ni, nanti tiada seorang pun kaum Adam yang berani nak pandang apatah lagi mendekati awak. Tak kahwin dibuatnya!" Ada nada humor pada bicara Maisarah itu, namun ia sinis.
"Ish, awak ni. Bukankah lebih selamat begitu? Setidaknya lelaki yang mahu menikahi saya bukan kerana memandang kepada kecantikan semata-mata. Cukuplah bila dia mengingati Allah apabila memandang saya. Yakinlah seperti firman Allah dalam AlQuran, surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya.
"Tidak semestinya orang yang menutup aurat semuanya baik. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berusaha menjadi baik. Tidak semua orang yang tutup aurat dengan sempurna. Tapi mana yang kurang sempurna kita beri tunjuk ajar dengan berhemah, bukan menghina. Beri peluang dan ruang untuk mereka berubah kerana Allah sentiasa beri kita peluang bernafas percuma. Allah sukakan kebaikan, jadi tak salah kita berubah menjadi lebih baik dan suka kepada kebaikan," bicara Fatihah.
"Sekarang saya faham sedikit sebanyak 'kebebasan' yang awak maksudkan tu. Saya pun terdetik nak berubah kerana Allah. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dengan awak hari ini," ujar Maisarah.
"Ya, kebebasan minda dan jiwa mengikut syariah tanpa perlu dibatasi stigma bercorak barat. Alhamdulillah, saya hanya perantara kerdil, Mai. DIA yang lebih utama. Kita semua hamba Allah dan selayaknya memiliki jiwa hamba. Persamaanlah yang menyatukan kita untuk merasai rahmat dan cinta daripada Allah. Sedikit perhatian daripadaNya lebih hebat daripada segala pujian dan perhatian yang ada di dunia."
Bicara Fatihah membuatkan Maisarah terdiam sejenak dan berfikir sedalamnya, sambil memerhatikan pakaian labuh dan kain yang menutup wajah Fatihah. Kebebasan. Itu bisikan ke dalam sudut hati kecilnya. Maisarah tersenyum. Mulai hari ini dia belajar bukan sekadar melihat dunia tetapi cuba menghayati cinta Allah kepada hambaNya.
Hati kecilnya mengakui ketabahan wanita-wanita yang memakai niqab. Pengorbanan yang besar di mana kemanisannya kerana Allah semata-mata. Di sebalik 'belenggu' hijab dan niqab, ada kebebasan hakiki dan yang paling penting, cinta Allah. Masya-Allah!

Thursday, 5 July 2012

Cinta kepada Pencipta



Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan hidupnya telah banyak berubah.
Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding rakan-rakannya yang lain, Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal dilakukannya.
Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada pencipta-Nya. Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan mencintai. Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah. Persepsinya sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.
Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam yang ingin merebut hatinya. Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq, namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah digariskan agama. Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan mengambil berat akan dirinya.
Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit, dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam. Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.
Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang diciptakanNya.
Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki. Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.
Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku, hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku. Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."