Terawih Pertama
Riuh rendah.. "Esok puasa esok puasa!".Begitulah keadaanya apabila pengunguman puasa dimaklumkan melalui televisyen mahupun radio. Di Malaysia telah diumumkan bahawa 1 Ramadan telah jatuh pada hari sabtu. Dan di Jordan pula masih menunggu pengumuman memandangkan jarak masa Malaysia dan Jordan 5 jam. Sungguh tidak sangka, Ramadan datang awal dari jangkaanku.
Usai mengerjakan fardhu maghrib, aku mengemas bilik, untuk persediaan Ramadan. Sebelah petang tadinya sudah bertungkus lumus mengemas dapur, menyental lantai setelah pulang dari balad (pasar) untuk membeli keperluan rumah. Fikirku malam ini ingin berehat dan melelapkan diri lebih awal. Akan tetapi, setelah kecoh bahawa esok puasa, bergegas aku membersihkan diriku yang kurang harum dek megemas rumah dan menyental lantai.
Niatku untuk berehat dan bersenang lenang malam ini perlu dibatalkan dan berpindah ke plan B, iaitu malam pertama terawih di masjid! Penatku yang tidak sempat merehatkan badan sejak pulang dari kelas siang tadi perlu dilupakan, kepayahan mengharungi balad petang tadi dengan angin soifi (musim panas) yang terik serta lambakan manusia yang menyesakkan perlu dilupakan juga, demi menyambut tetamu mulia yang hanya berkunjung setahun sekali ini. Ramadan kareem.
Malam pertama terawih di bumi ini, ''biladus shams'', (Jordan, Palestin, Syria, Lubnan), sungguh aku terharu dengan bacaan qunut imam masjid, panjang sungguh doanya dan penuh dengan kebaikan. Semua umat Islam didoakan, sahabat di Palestin, Syria dan negara-negara yang bergolak turut didoakan agar dilindungi dari ancaman musuh-musuh agama.
Entah kenapa, hatiku terharu. Sebak. Mengenangkan yang betapa tidak sangkanaya hari ini aku berkesempatan menunaikan terawih di bumi ini. Aku juga tidak sangka yang impianku suatu ketika dahulu ingin menjejaki bumi ini, kini menjadi kenyataan. Bumi yang penuh dengan barakah. Teringat aku dengan Kalamullah, di dalam Al-Quran, Allah mengatakan
"Negeri-negeri yang Kami berkati (Syam)"
(Surah Saba' ayat 18)
Bukannya baru sebulan dua aku menjejakkan kaki di sini, malah hampir setahun. Tetapi baru seakan hari ini aku bersyukur dan sedar, aku sangat bertuah kerana Allah memilihku untuk berada di bumi impian. Hatta sahabat-sahabatku yang lain juga mengimpikan untuk berada di bumi impian ini.
Hatiku sebak, ini adalah antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepadaku. Kini tempat idamanku berada di hadapan mataku. Mungkin kadangkala kita sendiri tidak pernah perasan akan nikmat yang Allah kurniakan, malahan sering kali mengeluh akan permintaan yang tidak dimakbulkan serta ujian yang ditimpakan.
Aku tidak pernah sangka yang aku berpeluang menunaikan terawih di tanah barakah ini. Malam ini aku adalah malam terindah yang pernah aku rasakan. Berjemaah solat sunat terawih dengan alunan ayat suci Al-Quran yang mempersonakan. Alhamdulillah, aku terpilih olehNya untuk menjejaki bumi ini. Moga doa sang musafir di bumi barakah ini diterima.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"
(Surah Ibrahim ayat 7)
Moga kita semua sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan dan tergolong dalam hamba-hambaNya yang bertaqwa. Selamat memperbanyak ibadah!
*COPY PASTE
(Surah Saba' ayat 18)
(Surah Ibrahim ayat 7)
*COPY PASTE
No comments:
Post a Comment