Monday, 23 July 2012


Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba?




Beberapa hari lalu saya bersembang dengan anak perempuan saya, Najwa, tentang perkahwinan.
"Najwa, nanti bila dah dewasa nak abah dengan mama carikan calon suami atau nak cari sendiri?"
"Apalah Abah ni, lambat lagilah nak kahwin. Not interested to discuss this topic. NEXTTTT..." jawab Najwa selamba.
"Awa, nanti bila Awa dah kahwin kan, Awa nak anak berapa ya?"
"Ish Abah ni, tak habis lagi rupanya. Awa tanya abah baliklah, ha nanti Abah nak cucu berapa?"
"Abah nak ramai cucu. Nanti senang nak pilih mana satu nak wrestling dengan atok mereka.Best cucu ramai ni tau."
Mengekek kami ketawa.
Saya dan Ain berkahwin pada usia yang muda (dalam konteks zaman kami dianggap muda bila berkahwin pada usia 24 tahun). Pada usia 25 tahun kami dikurniakan Najwa. Indahnya dianugerahkan anak pada usia berkenaan walaupun saya dan Ain tidak mempunyai masa untuk berseronok-seronok ke sana sini seperti ketika zaman bujang kami.
Ramai kawan-kawan yang mengusik Ain dan saya (kerana kami sebaya) semasa kami hulurkan kad jemputan perkahwinan.
"Wah, cepatnya kahwin. Amboi, tak tunggu lama pun ya?"
"Ewah, terus ngap sayot aja ya? Kenal enam bulan terus nak kahwin dah. Tak enjoy dulu, Naz? Rugi tau tak enjoy."
"Baru umur 24 korang dah nak kawin? Ekonomi tak stabil lagi. Gaji baru berapa sebab baru kerja. Nanti belum apa-apa dah ada anak. Perempuan cepat nampak tua bila dah beranak pinak tau. Nanti tak sampai 30 tahun dah macam 40-an..."
Semua usikan ini kami hanya balas dengan senyuman.
Disember ini usia perkahwinan kami mencecah 16 tahun. Anak-anak juga sudah ada yang remaja. Najwa sudah 15, Najman 13 dan Najmi 11 tahun.
Lucunya bila berjumpa teman-teman yang mengusik dahulu kerana lain pula nada usikan mereka sekarang.
"Eh, dah ada anak dara dah kau Naz. Dua hero ni pun dah bujang dah haa. Aduhai, anak aku baru sekolah tadika anak kau pulak dah tak lama nak masuk universiti."
"Adui, ruginya kahwin lewat ni. Untung kau, Ainon. Najwa dah macam adik-beradik dah dengan mamanya."
Sekali lagi kami tersenyum.
Teringat saya satu cerita yang pernah kami sembangkan pada suatu petang semasa Najwa masih berusia tiga tahun.
"Ain, nanti kan masa umur kita 50 tahun, Najwa dah 25 usianya. Dah keluar universiti dah. Bolehlah dia tanggung belanja adik-adiknya nanti."
"Entah-entah dia ikut jejak kita bang, habis belajar terus kahwin. Belum pencen dah bercucu dah kita agaknya.
"Abang tau tak masa kat office kan, kadang-kadang we just know that we have shifted gears and moved on with our life compared to our peers?" balas Ain.
Tekun saya memasang telinga.
"Tadi masa kat office, sembang masa lunch dengan kawan-kawan. Ada yang sama umur dengan kita, ada yang senior.
"Masa geng yang dah ada anak-anak kecil macam kita sembang pasal pampers, ruam lampin, anak dah mula merangkak dan tumbuh gigi, ada yang lagi senior usianya daripada kita dan belum berkahwin bersembang perkara-perkara yang kita dah tak boleh nak relate dah tau bang."
"Hmm... Abang tak faham ni, maksud Ain?"
"Mereka ni cerita benda-benda macam erm... nanti nak kahwin nak lelaki yang hensem, yang ada kumis, ada yang kata nak lelaki seksi ada bulu dada. Ish, dah tak boleh masuk dah kita dalam cerita-cerita macam ni.
"Bila fikir, kan bang, kesian sebenarnya. Apalah yang kawan-kawan kita yang belum kahwin tu cari agaknya dalam pasangan mereka, kan?
"Nak cari 'Mr Perfect' agaknya. Tinggi sangat benchmarknya. Sampai sekarang masih sendiri.

"Mereka ni semua sunyi tau, bang? Tak ada pasangan yang nak kongsi kegembiraan, kesedihan, menjadi tempat mengadu... Kesian, kan?"
Saya terdiam seketika cuba menyusun ayat.
"Mana ada manusia sempurna, kan Ain? Semua kita ni ada kekurangan. Yang sempurna tu Allah SWT.
"Setiap pasangan tu memang ditakdirkan jodohnya saling melengkapi. Kurang si lelaki ditampung isteri. Macam tu jugak sebaliknya. Macam kita ni kan saling melengkapi, kan?"
"Maksud abang?" desak Ain inginkan kepastian.
"Macam kita nilah. Ain suka dengar, abang yang banyak cakap. Abang tak pandai Matematik, Ain ada degree dalam Matematik. Kalau makan ayam goreng, abang tak suka peha ayam tapi sukakan bahagian kepak dan dada. Ain pulak sebaliknya. Kan saling melengkapi tu?
"Sepatutnya kita ni memang kena memilih tapi harus bertempat. Kita boleh letak senarai KPI (Key Performance Indicator) yang kita kehendaki daripada pasangan kita tu tapi tak bolehlah kesemua KPInya nak dipenuhi.
"Kalau ada katalah sepuluh perkara yang kita nak daripada pasangan kita. Janganlah nak dapatkan kesemua sepuluh kriteria baru nak kahwin. Dapat tujuh jadilah dulu. Tiga lagi kriteria tu kita binalah dalam alam rumahtangga.
"We have to be practical as we do not live in an ideal world," jelas saya.
Ain mengangguk.
"Wah, pandai abang Matematik tu. Dah siap pakai percentage dan nisbah bagai tu ha," usik Ain.
Berderai ketawa kami berdua.
Apa yang kita tunggu sebenarnya? Kenapa jodoh kita tak kunjung tiba?
Saya nak kongsikan sedikit apa yang saya temui di dalam buku yang dihadiahkan sepasang teman rapat saya. Buku ini bertajuk 'Inspirasi Cinta Terhebat'. Intailah mukasurat 3 bahagian tengah yang bertajuk "Ya Allah, aku tak ingin sendiri – Kenapa jodoh tak kunjung datang?"
Persoalan yang saya tanyakan tadi disusul soalan dalam buku yang ditulis Burhan Sodiq dengan bersahaja.
Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh? Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu, sambil berharap penuh cemas? Atau adakah kita akan melakukan 'sesuatu', agar jodoh itu datang menyapa?
Soal jodoh ini bukan soal enteng, kan?
Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas, kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan sensitif yang bertubi-tubi.
Apabila kita ke kenduri-kendara, contohnya. 'Sosek-sosek' orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita, "Ish anak kamu tu lawa orangnya, berpendidikan pulak, apa lagi yang dicarinya tu bang/kak?" atau "Lewat sangat usianya anak abang tu, takda calon lagi ke?"
Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga, tapi kalau selalu? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri-kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini.
Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi pelbagai jawapan yang rasional kenapa masih membujang. Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai, ekonomi belum stabil, masih belajar lagi, takut terkongkong dan sebagainya. Terpulanglah.
Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumah tangga yang disebutkan di dalam Al-Qur'an;
"Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui"
(Surah An-Nur, ayat 32)
...dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus; "Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)."
Sebab itulah orang tua kata jangan risau jika lepas berkahwin dan mempunyai anak tak cukup wang untuk bagi anak-anak makan kerana adalah 'rezeki anak' itu nanti. Pernah dengar, kan, begitu?
Kepada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu;
1. Jika dipandang membuat semakin sayang,
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga kehormatannya dan;
3. Taat pada suami
Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda; "Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya, maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya. Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya, membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim, Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut."
Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa, inginkan perkahwinan yang glamor umpama puteri raja, tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal, cacat anggota dan rasa rendah diri, tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu, langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga.
Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia.
Insya-Allah.

Sunday, 22 July 2012


Terawih Pertama


Riuh rendah.. "Esok puasa esok puasa!".Begitulah keadaanya apabila pengunguman puasa dimaklumkan melalui televisyen mahupun radio. Di Malaysia telah diumumkan bahawa 1 Ramadan telah jatuh pada hari sabtu. Dan di Jordan pula masih menunggu pengumuman memandangkan jarak masa Malaysia dan Jordan 5 jam. Sungguh tidak sangka, Ramadan datang awal dari jangkaanku.
Usai mengerjakan fardhu maghrib, aku mengemas bilik, untuk persediaan Ramadan. Sebelah petang tadinya sudah bertungkus lumus mengemas dapur, menyental lantai setelah pulang dari balad (pasar) untuk membeli keperluan rumah. Fikirku malam ini ingin berehat dan melelapkan diri lebih awal. Akan tetapi, setelah kecoh bahawa esok puasa, bergegas aku membersihkan diriku yang kurang harum dek megemas rumah dan menyental lantai.
Niatku untuk berehat dan bersenang lenang malam ini perlu dibatalkan dan berpindah ke plan B, iaitu malam pertama terawih di masjid! Penatku yang tidak sempat merehatkan badan sejak pulang dari kelas siang tadi perlu dilupakan, kepayahan mengharungi balad petang tadi dengan angin soifi (musim panas) yang terik serta lambakan manusia yang menyesakkan perlu dilupakan juga, demi menyambut tetamu mulia yang hanya berkunjung setahun sekali ini. Ramadan kareem.
Malam pertama terawih di bumi ini,  ''biladus shams'', (Jordan, Palestin, Syria, Lubnan), sungguh aku terharu dengan bacaan qunut imam masjid, panjang sungguh doanya dan penuh dengan kebaikan. Semua umat Islam didoakan, sahabat di Palestin, Syria dan negara-negara yang bergolak turut didoakan agar dilindungi dari ancaman musuh-musuh agama.
Entah kenapa, hatiku terharu. Sebak. Mengenangkan yang betapa tidak sangkanaya hari ini aku berkesempatan menunaikan terawih di bumi ini. Aku juga tidak sangka yang impianku suatu ketika dahulu ingin menjejaki bumi ini, kini menjadi kenyataan. Bumi yang penuh dengan barakah. Teringat aku dengan Kalamullah, di dalam Al-Quran, Allah mengatakan
"Negeri-negeri yang Kami berkati (Syam)" 
(Surah Saba' ayat 18)
Bukannya baru sebulan dua aku menjejakkan kaki di sini, malah hampir setahun. Tetapi baru seakan hari ini aku bersyukur dan sedar, aku sangat bertuah kerana Allah memilihku untuk berada di bumi impian. Hatta sahabat-sahabatku yang lain juga mengimpikan untuk berada di bumi impian ini. 

Hatiku sebak, ini adalah antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepadaku. Kini tempat idamanku berada di hadapan mataku. Mungkin kadangkala kita sendiri tidak pernah perasan akan nikmat yang Allah kurniakan, malahan sering kali mengeluh akan permintaan yang tidak dimakbulkan serta ujian yang ditimpakan.
Aku tidak pernah sangka yang aku berpeluang menunaikan terawih di tanah barakah ini. Malam ini aku adalah malam terindah yang pernah aku rasakan. Berjemaah solat sunat terawih dengan alunan ayat suci Al-Quran yang mempersonakan. Alhamdulillah, aku terpilih olehNya untuk menjejaki bumi ini. Moga doa sang musafir di bumi barakah ini diterima.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" 
(Surah Ibrahim ayat 7)
Moga kita semua sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan dan tergolong dalam hamba-hambaNya yang bertaqwa. Selamat memperbanyak ibadah!

*COPY PASTE

Saturday, 21 July 2012


Di Sebalik 'Belenggu' Niqab

Di sebalik niqab berwarna hitam itu, ada sepasang mata yang terlihat dan melihat. Dihujani ribuan pandangan aneh. Terasa begitu asing. Perbezaan yang serta-merta dapat dirasai menusuk segenap hati apabila diperhatikan berpakaian yang serba menutup sebegitu berbanding kebiasaan sering terdedah. Mata-mata yang seakan bersuara melahirkan simpati. Seharusnya, pada era fesyen ini segala trend jadi ikutan. Namun, bukan dia.
Ada yang merasakan dirinya berpakaian seperti tawanan. Setiap langkah mereka beriramakan suara yang berdesas-desus layaknya seperti juri yang menghakimi. Tatkala pilihan fabrik penuh warna-warni  yang menarik, masih ada yang mahu tampak serba pudar sepertinya.
"Jadi, inilah perubahan baru yang awak katakan antara simbolik bagi erti 'kebebasan' sebenar seorang wanita? Sememangnya perubahan yang benar-benar drastik, Fatihah! Tapi sejujurnya ini memang kebebasan yang lari daripada kebiasaan. Sungguh!" Kening Maisarah terangkat sedikit. Terkejut melihat sahabatnya berpakaian sedemikian. Jika bukan kerana Fatihah yang menyapanya terlebih dahulu, sudah pasti dia tidak mengenali gadis di hadapannya tadi.
"Absolutely, this is total freedom for me and my soul! I had never felt this kind of feeling before but now I know how it actually feels like. Peace and modesty. Saya dapat rasakan hati saya lebih selamat dan setiap pandangan yang melihat diri saya seperti refleksi dan reminder untuk mengingatkan siapa diri saya sebenarnya – hanya seorang hamba Allah," ujar Fatihah penuh bersemangat.
Senyuman yang terukir di sebalik kain yang menutup sebahagian wajahnya terserlah pada sinar matanya. Dia jauh lebih kemas dan berbeza daripada Fatihah yang dikenali sebelum ini. Kadangkala terfikir, betapa 'pakaian' bukan sahaja mampu mengubah pandangan segenap manusia terhadap si pemakai malah mengubah cara si pemakai itu sendiri memandang dunia.
"Awak tahu tak, pandangan mereka sangat menakutkan? Awak lebih banyak menarik perhatian dengan berpakaian sebegini. Ingat, ini bukan budaya kita seperti di tanah Arab tu. Tentulah mereka rasa janggal bila tengok awak. Malah, tak hairanlah mereka cenderung merenung awak." Maisarah masih kekok apabila hampir setiap orang yang lalu-lalang di pusat beli-belah memusatkan pandangan pada mereka berdua, khususnya Fatihah. Agak janggal duduk berdua dengan Fatihah sedangkan dirinya jauh berbeza.
"Kenapa perlu takut dipandang dengan pandangan aneh? Saya lebih takutkan Allah. Saya takut kalau-kalau pandangan mereka pada saya membuatkan Allah murka pada saya. Semua pancaindera ini pinjaman daripada Dia. Jadi, aurat saya juga tanggungjawab saya. Bukan niat saya mahu menarik perhatian atau menjadi bahan tarikan sedangkan pada dasarnya tidak ada apa-apa yang menarik pun untuk ditatap – hanya kain biasa yang tiada potongan.
"Saya mahu menjaga hati kecil ini daripada terus dizalimi dan menzalimi diri sendiri. Bukan kerana terikut budaya atau apapun. The truth is I am trying to dress for Allah and not for humans." Kelihatan air matanya bergenang. Sebak.
Dalam diri Maisarah mengakui keberanian Fatihah berhadapan insanity di sekitarnya dengan perubahan yang dibuat. Air mata di sebalik niqab itu terasa begitu mahal apabila tiada siapa yang melihat dan menyedari.
"Apa maksud awak dengan menzalimi dan dizalimi diri sendiri?"
"Saya sudah letih, Mai. Letih menjadi seorang yang seperti tercari-cari identiti. Letih bergantung kepada sesuatu untuk mengejar tumpuan. Letih untuk membanding dan mengukur 'kecantikan'. Hati pula mudah riak dengan pakaian yang dipakai. Malah, pujian yang diberi hanya kerana kecantikan dengan 'make-up' yang sementara dan segera hilang walau terkena air.
"Saya menzalimi diri sendiri kerana berani mencuba sesuatu yang di luar syariah hanya kerana mahu tampil berbeza dan cantik di pandangan mata manusia. Malah menzalimi keluarga dan orang lain kerana memberi saham dosa dengan aurat yang terdedah. Hati saya juga bagai dizalimi kerana tanpa sedar mengukur dan mengejar segala yang sementara. Bukankah Islam mengajar umatnya untuk bersederhana?" soal Fatihah.
"Betul juga. Media dan majalah di luar sana mendefinisikan cantik itu dengan cara mereka. Fesyen pula berpusat kepada menjadi atau mencuri tumpuan. Kita dikelilingi dengan persekitaran begini. Kita juga dibentuk dengan stigma yang mengikis rasa takut pada pandangan Allah berbanding pandangan manusia.
"Tapi, bukan mudah untuk lari daripada kebiasaan. Bukan mudah untuk berkorban dan bertahan dengan pakaian yang serba labuh dan menutup hampir seluruh tubuh kita pada zaman ni. Masih banyak etika yang perlu dipatuhi," kata Maisarah yang mulai akur sudut pandang Fatihah.
"Islam itu kan mudah, jadi usah diberatkan dan jangan ambil mudah. Jadilah hamba Allah. Bersederhana dan berniat segalanya kerana mencari redhaNya. Apa pakaian sekalipun yang mengikut syariah dan berpaksi kerana Allah pasti mendapat redhaNya, insya-Allah. Masing-masing punya cara sendiri tapi aurat kita sebagai wanita adalah tanggungjawab kita dan amanah daripada Allah. Berubah itu payah tapi jika dilakukan kerana Allah pasti segala susah dipermudahkan dengan hikmahNya," terang Fatihah.
"Tapi kan Fatihah, awak tak risau ke? Kalau awak  selalu keluar berpakaian macam ni, nanti tiada seorang pun kaum Adam yang berani nak pandang apatah lagi mendekati awak. Tak kahwin dibuatnya!" Ada nada humor pada bicara Maisarah itu, namun ia sinis.
"Ish, awak ni. Bukankah lebih selamat begitu? Setidaknya lelaki yang mahu menikahi saya bukan kerana memandang kepada kecantikan semata-mata. Cukuplah bila dia mengingati Allah apabila memandang saya. Yakinlah seperti firman Allah dalam AlQuran, surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya.
"Tidak semestinya orang yang menutup aurat semuanya baik. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berusaha menjadi baik. Tidak semua orang yang tutup aurat dengan sempurna. Tapi mana yang kurang sempurna kita beri tunjuk ajar dengan berhemah, bukan menghina. Beri peluang dan ruang untuk mereka berubah kerana Allah sentiasa beri kita peluang bernafas percuma. Allah sukakan kebaikan, jadi tak salah kita berubah menjadi lebih baik dan suka kepada kebaikan," bicara Fatihah.
"Sekarang saya faham sedikit sebanyak 'kebebasan' yang awak maksudkan tu. Saya pun terdetik nak berubah kerana Allah. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dengan awak hari ini," ujar Maisarah.
"Ya, kebebasan minda dan jiwa mengikut syariah tanpa perlu dibatasi stigma bercorak barat. Alhamdulillah, saya hanya perantara kerdil, Mai. DIA yang lebih utama. Kita semua hamba Allah dan selayaknya memiliki jiwa hamba. Persamaanlah yang menyatukan kita untuk merasai rahmat dan cinta daripada Allah. Sedikit perhatian daripadaNya lebih hebat daripada segala pujian dan perhatian yang ada di dunia."
Bicara Fatihah membuatkan Maisarah terdiam sejenak dan berfikir sedalamnya, sambil memerhatikan pakaian labuh dan kain yang menutup wajah Fatihah. Kebebasan. Itu bisikan ke dalam sudut hati kecilnya. Maisarah tersenyum. Mulai hari ini dia belajar bukan sekadar melihat dunia tetapi cuba menghayati cinta Allah kepada hambaNya.
Hati kecilnya mengakui ketabahan wanita-wanita yang memakai niqab. Pengorbanan yang besar di mana kemanisannya kerana Allah semata-mata. Di sebalik 'belenggu' hijab dan niqab, ada kebebasan hakiki dan yang paling penting, cinta Allah. Masya-Allah!

Thursday, 5 July 2012

Cinta kepada Pencipta



Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan hidupnya telah banyak berubah.
Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding rakan-rakannya yang lain, Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal dilakukannya.
Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada pencipta-Nya. Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan mencintai. Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah. Persepsinya sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.
Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam yang ingin merebut hatinya. Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq, namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah digariskan agama. Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan mengambil berat akan dirinya.
Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit, dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam. Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.
Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang diciptakanNya.
Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki. Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.
Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku, hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku. Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."

Wednesday, 30 May 2012


Sesuci Cinta Khadijah



Hakikat cinta itu sering teruji
Sering dilanda badai duniawi
Menguji kuatkah cinta di hati
Kukuhkah ikatan yang terpateri
Dia menjadi lambang cinta suci
Kekasih sejati Nabi terpuji
Tak pernah lekang dari bibir dan hati
Mulianya dia seorang serikandi
Darinya lahir putera dan puteri
Zuriat penyambung keturunan Nabi
Diberi didikan tauladan Islami
Membesar menjadi pembela diri
Darinya lahir semangat memberi
Harta dinafkah ke jalan Ilahi
Tidak pernah takut miskin diri
Tetapi bimbang miskinnya rohani
Hanya mengharap balasan syurgawi

Dia  wanita suci lagi terpuji
Dialah Khadijah lambang wanita sejati
Isteri Nabi yang paling dicintai
Juga yang paling dirindui
Tak pernah ada pengganti
Layakkah kita menjadi sepertinya?
Mencintai Rasul sepenuh hati
Tak pernah ada ragu dalam diri
Memenangkan Nabi tiada yang ditakuti
Meski tak boleh menjadi serikandi
Cukuplah sekadar  sayap kiri
Membantu perjuangan para mujahid dini
Yang merindui syahid di jalan Ilahi
Peganglah duhai muslimah sejati
Walau sedikit semangat Khadijah isteri Nabi
Moga kita mampu memujahadah diri
Bangkit membela demi cinta Ilahi
Demi mendapat syafaat Baginda Nabi
Moga Islam kan terus  dijulang tinggi 

iluvislam

Hanya Seorang Ayah



"Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!" Masam mencuka wajah Thariq di depan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.
"Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni." Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.
"Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah." Ujar Arman kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.
"Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!" Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.
Segera dia beristighfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.
Bagi Thariq, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari lahirpun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung menyayanginya.
Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar dari pintu kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali. Sekadar menggelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.
"Thariq!" Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi menunjukkan giginya yang sedikit jarang.
"Eh Thariq. Jap lagi aku nak tengok kau punya praktikal Sains minggu lepas. Hehe.. Nak check betul atau tak aku punya ni."
"Sains? Eh, hari ni mana ada subjek Sains." Berkerut-kerut dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya mula berdebar kerana dia amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.
"Memanglah Sains takde. Tapi Cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kau kata tak bawak. Habislah kau." Kata Faruqi sekadar mengusik.
"Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. Macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi." Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.
"Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah."
"Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu." Thariq berkira-kira dalam hati.
Terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.
.....
Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
"Ayah! Thariq ni." Kedengaran suara anak kecilnya di talian. "Oh, Thariq. Kenapa nak?"
"Em.." Thariq sedikit teragak-agak.
"Ayah, Thariq tertinggal buku praktikal kat rumah. Kena hantar hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku tu ada kat atas meja dalam bilik."
"Oh." Arman kembali melihat jam di tangan.
"Ok, jap lagi ayah hantarkan." Arman sudah serba salah.
Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak kesayangannya itu dimarahi guru. Biarlah dia yang berkorban sedikit buat anak tunggalnya itu.
Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.
"Siti, kalaulah awak masih di sisi abang." Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.
Isterinya yang meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.
Arman masih teringat bila mana dia yang ketika itu sedang berada di Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada mertuanya. Satu panggilan yang benar-benar meluruhkan jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.
"Sebab kaulah isteri aku mati!" terbayang di ingatannya saat dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi neneknya kerana dimarahi ayah.
Setelah peristiwa itu, setahun Thariq ditinggalkan di bawah penjagaan mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.
Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya, ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.
"Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq. Bukan salah Thariq." Teresak-esak Arman melutut di sisi anaknya. Menyesali akan perbuatannya, Arman sudah berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya buat arwah isterinya.
Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat kelak.
Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang kerenah anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya, namun Arman seringkali terkenangkan perbuatannya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan hanya menjenguknya beberapa kali.
"Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku,"kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.
.....
Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada dalam kelas sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.
Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang melihat seutas jam tangan yang diidam-idamnya selama ini berada di dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka kad tersebut.
Buat buah hati ayah yang tersayang,
Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.
Thariq,
Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah untuk Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong Thariq siapkan kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang mainan yang Thariq minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.
Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa.
Ikhlas,
Ayah.
Basah pipi si anak kecil. "Ayah, maafkan Thariq." Ada sedikit kekesalan di hati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh di sudut hati, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayah yang tersayang.
.....
Kring!!! Loceng sekolah berbunyi.Tidak seperti biasa, Thariqlah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju ke pintu pagar.
Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.
Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai prasangka buruk terhadap kasih sayang ayah kepadanya. Mungkin kerana tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.
Sampai di depan pintu pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya. Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri.
Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq membuak-buak dalam hati.
"Thariq, kereta ayah kau Myvi hitam, kan?" tanya Faruqi.
Muka Thariq berubah.
"A'ah. Kenapa?" Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.
"Em.. ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?"
Thariq seperti kehilangan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang. Tidak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.
Di simpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas yang mulai sesak.
Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkahnya kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.
"Ayah... Ayah!!" Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! Jangan tinggalkan Thariq sorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak tinggalkan Thariq jugak. Ayah!" Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.
"Thariq?" terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya memandangnya dengan pandangan kehairanan.
"Ayah!" dipeluk erat tubuh ayahnya. Arman hanya tercengang kurang mengerti. Melihat sekeliling dan matanya terpandang sebuah Myvi hitam yang remuk teruk tersadai di tepi jalan. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya terjadi.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah," Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran bertandang apabila menyedari ayahnya masih di sisi. Arman tersenyum memandang anaknya.
Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.
.....
Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Arman bersiap-siap untuk tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah siap digosok. Bimbang jika esok terlewat bangun lagi. Di fikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang ingin disiapkan buat anaknya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.
"Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?" Ujar Thariq teragak-agak sambil tangannya memegang bantal busuk Doraemonnya.
Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.
Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan di hati anaknya?
Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.
"Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur," Arman tersenyum sambil menutup lampu.
"Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah." Arman terkedu dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata-kata yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.
Setitis air mata mengalir ke pipinya.
"InsyaAllah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua." Bisik Arman dalam hatinya.
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik." (Al-Isra':23)
Nota: Hargailah kedua ibubapa yang masih berada di sisi. Kerana kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal menanti pada esok hari.

iluvislam

Kasarnya Tapak Tangan Ibu





Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."
Pengurus itu  bertanya lagi, "Jadi  adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah  meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."
Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."
Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.
Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.
Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan  gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti. 
Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya  yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"
Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."
Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"
Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti  betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."
 
Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.
Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

iluvislam